[VIDEO] Dua bekas pegawai kanan imigresen bersalah minta, terima rasuah

Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen negeri dihukum penjara tiga tahun dan denda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas kesalahan rasuah.
Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen negeri dihukum penjara tiga tahun dan denda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas kesalahan rasuah.
A
A
A

IPOH - Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak dihukum penjara tiga tahun dan denda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat selepas masing-masing didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.

Hakim S Indera Nehru menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhairin Yahya, 50, dan Zaidi Dali, 54, selepas perbicaraan di akhir kes pembelaan di sini.

Indera Nehru memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh hari ini.

Bagaimanapun, peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili Zulhairin, manakala Zamri Idrus dan Mohd Fadly Hashim mewakili Zaidi memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh, namun memerintahkan denda RM85,000 perlu dibayar.

Mahkamah juga membenarkan kedua-duanya diikat jamin dengan wang jaminan dikekalkan RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Dalam rayuannya, Mohd Baharuddin berkata, mahkamah perlu mengambil kira bahawa ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya sepanjang 25 tahun berkhidmat dengan kerajaan selain tangkapan dan perbicaraan kes itu telah memberi keinsafan serta pengajaran terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh supaya dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat dan amaran kepada penjawat awam terutama agensi penguatkuasaan untuk tidak menjadikan rasuah sebagai amalan dalam menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 serta 10 bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.

Sementara pertuduhan seterusnya, penjara tiga tahun dan denda RM35,000 serta lapan bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Semua hukuman penjara berjalan secara serentak bermula pada Jumaat.

Zulhairin dan Zaidi masing-masing didakwa meminta wang RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek untuk memastikan Jabatan Imigresen tidak melakukan pemeriksaan dan serbuan terhadap sebuah premis pusat hiburan The Bos KTV di Pusat Bandar Seri Manjung.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di sini kira-kira jam 9 malam pada 5 November 2015.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Zulhairin juga didakwa menerima RM7,000 daripada individu sama di Restoran Knock Knock Meru Raya di sini sekitar jam 12.05 tengah malam pada 11 November 2015.

Zaidi pula dituduh menerima suapan RM7,000 daripada individu sama di tempat letak kereta Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di sini pada jam 9.55 malam 11 November 2015.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama yang membawa hukuman sama.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil 19 saksi manakala lima saksi di pihak pembelaan.