'Bantu rakyat atasi banjir bukan desak PRU'

Zuraidi
Zuraidi
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) didesak supaya segera menaik taraf sistem saliran dan perparitan di negeri ini, terutamanya di lokasi yang sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Zuraidi Ismail berkata, perkara itu perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan BN daripada memikirkan desakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, sebagai membantu kerajaan Pahang dalam menangani masalah banjir, satu laporan banjir bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu telah dihantar pada awal tahun ini bagi membolehkan penyelesaian dibuat.

"Dalam laporan itu, kita memaklumkan sudah mengenal pasti beberapa lokasi di DUN Semambu yang menjadi tumpuan berlaku banjir. Kita juga mendedahkan bahawa banjir ini berpunca daripada sistem perparitan yang lama, uzur, keadaan saliran yang cetek dan semakin mengecil," katanya.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan saliran longkang dan parit tidak lagi mampu menanggung aliran air yang besar sekiranya berlaku hujan lebat.

"Namun, kita kesal apabila laporan yang dihantar tidak mendapatkan maklumat balas daripada pihak kerajaan Pahang sama ada daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mahupun exco yang terlibat.

"Sedangkan pada ketika ini kerajaan Pahang perlu memastikan sistem perparitan dan saliran longkang yang menjadi penyebab kepada banjir dibaiki dan diselia dengan sebaiknya seterusnya mengelak banjir berulang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Kawasan tumpuan yang dikenal pasti berdepan dengan risiko banjir antaranya, Taman Sri Setali, Taman Tunas Jaya, Jalan Haji Ahmad, kawasan perumahan depan Syarikat Leong Art, lorong Seri Setali 101, Jalan Air Putih, Kampung Galing, Kampung Tiram, Bukit Sekilau, Bukit Setongkol Jaya 60, Bukit Setongkol Maju di Cenderawasih, Bukit Setongkol Perdana 18 dan beberapa kawasan lain lagi.

Mengulas lanjut, Zuraidi menjelaskan sehingga kini tiada seorang pemimpin mewakili kerajaan Pahang turun ke lapangan untuk melihat sendiri kawasan yang mereka perlu tangani berdasarkan laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengurus Hal Ehwal Parlimen Indera Mahkota menambah, sikap ini memadai untuk rakyat sedar sejauh manakah nilai nyawa dan harta rakyat di mata politikus BN.

"Saya mencabar kerajaan BN untuk mengumumkan langkah dan pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan mereka sepanjang tahun ini dalam mendepani risiko banjir yang sering melanda pada penghujung tahun.

"Sebagai parti yang prihatin rakyat, sepatutnya mereka bertungkus-lumus untuk menaik taraf sistem perparitan dan bukan mendesak pilihan raya hampir setiap hari," kata beliau lagi.