Lori muatan tong cat dipercayai hilang kawalan sebelum nahas

Tangkap layar kejadian kemalangan maut di Sinar Harian pada Khamis.
Tangkap layar kejadian kemalangan maut di Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

REMBAU- Kemalangan di Kilometer 225 Lebuhraya utara-selatan (Plus) arah utara pada petang Khamis dipercayai berlaku apabila lori muatan tong cat hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan sebelum menyebabkan pemandunya maut.

Ketua Polis daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Zaki Taib, 47 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan maut dilokasi.

"Kejadian kira-kira jam 3.40 petang membabitkan kenderaan jenis lori Hino dipandu mangsa, sebuah van pasukan polis dinaiki tujuh anggota dari Johor Baharu Utara, dan dua kereta jenis Toyota Camry serta Perodua Alza.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Senawang menghala ke Ayer Keroh, Melaka memandu di lorong tengah sebelum mengubah laluan dan hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa telah ubah haluan ke lorong laju dan menghimpit kereta Toyota Camry dan Perodua Alza lalu melanggar besi penghadang lebuh raya di bahagian tengah sebelum masuk ke laluan bertentangan merempuh van pasukan polis yang bergerak dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang.

"Akibat kemalangan, pemandu lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, tujuh anggota polis berkenaan mengalami kecederaan parah, dua individu tidak cedera dan lain-lain mangsa daripada dua kenderaan berkenaan mengalami kecederaan ringan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Rembau dan proses bedah siasat akan dijalankan pada Jumaat di Unit Forensik Hospital Rembau.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pemandu lori maut, manakala tujuh anggota polis cedera parah selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 225 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara petang Khamis.

Kejadian lebih kurang jam 3.40 petang itu melibatkan van pasukan polis yang dinaiki tujuh anggota Johor Baharu Utara, sebuah lori dan dua kereta.