Smart SBB kurangkan impak banjir terhadap pengeluaran padi

Ronald (dua dari kanan) bersama Tajuddin (dua dari kiri) melawat tapak pameran pada program Smart SBB IADA Seberang Perak pada Khamis.
Ronald (dua dari kanan) bersama Tajuddin (dua dari kiri) melawat tapak pameran pada program Smart SBB IADA Seberang Perak pada Khamis.
A
A
A

PASIR SALAK - Pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dapat mengurangkan impak buruk pengeluaran padi serta beras negara akibat banjir.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pengurusan yang efisien menerusi program itu dapat mengurangkan kesan bencana alam terhadap tanaman yang diusahakan pesawah.

"Ini adalah cabaran yang dihadapi sektor industri padi beras negara bukan sahaja banjir malah penyakit, perubahan cuaca dan kemarau.

"Banjir atau kemarau ini tidak boleh dikawal tetapi kita boleh mengurangkan impak terhadap tanaman padi jadi, penglibatan pihak swasta atau peneraju dan konsep pengurusan yang efisien ini membolehkan kita meningkatkan hasil beras negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Smart SBB di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak (Cawangan Ulu Dedap) di Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Ronald (empat dari kiri) melancarkan beg benih padi wangi sah dan daftar MRQ76 Projek Smart SBB MAFI- FGV.
Ronald (empat dari kiri) melancarkan beg benih padi wangi sah dan daftar MRQ76 Projek Smart SBB MAFI- FGV.

Ronald berkata, sebanyak RM23 juta telah diperuntukkan pada Tabung Bencana Tanaman Padi dan RM19.8 juta telah disalurkan bagi membantu pesawah terkesan seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan sentiasa mengeluarkan dana bagi membantu pesawah atau pengusaha yang terjejas. Cuma peruntukan dana berbeza mengikut musim dan kesan yang dihadapi mereka.

"Begitu juga bidang tanaman dan ternakan, kita ada menyediakan dana untuk membantu mengurangkan beban yang dialami pengusaha dalam sektor agromakanan ini," katanya.

Tambah beliau, kementeriannya bagaimanapun telah bersiap siaga menghadapi musim banjir terutama melibatkan pengusaha sektor makanan.

"Berdasarkan pengalaman lalu, kita lebih bersedia berbanding tahun lepas dari segi bilik gerakan, gerak kerja dan lain-lain bagi membantu mengurangkan impak dialami mereka," katanya.

Ronald berkata, Smart SBB bermatlamat mempertingkat Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus tahun 2025 dan seterusnya 80 peratus menjelang tahun 2030.

"Melalui program ini, hasrat kita mengurangkan kebergantungan import sehingga 20 peratus keperluan beras negara akan kita capai tahun 2030.

"Hampir 5,000 pesawah dengan keluasan melebihi RM11,000 hektar terlibat dalam Smart SBB," katanya.