Tumpu tenaga muda yang belum rosak minda

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bergambar bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi Kumpulan Karangkraf sebelum Majlis Pelancaran Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN / ROSLI TALIB & ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bergambar bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi Kumpulan Karangkraf sebelum Majlis Pelancaran Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN / ROSLI TALIB & ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyarankan aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah menumpukan usaha itu kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya.

Sultan Nazrin bertitah, kesedaran antirasuah perlu disemai dalam kalangan mereka serta membina kekuatan memerangi rasuah bermula dari tenaga muda berkenaan.

Kata baginda, pada masa sama aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah itu juga hendaklah memiliki semangat kental, menyamai semangat para pemuda Ashabul Kahfi yang diberikan perlindungan oleh ALLAH dengan ditidurkan selama lebih 300 tahun kerana sifat gigih mereka mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah yang zalim.

"Dalam usaha melaksanakan perjuangan murni, yakinlah dan percayalah kepada kebesaran kuasa Ilahi. Hadapilah cabaran dengan semangat gigih dan hadapilah ujian dengan hati yang cekal. Semaikan kesedaran dan bina kekuatan.

"Dalam gerakan melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, jangan sama sekali berputus asa memohon petunjuk dan kekuatan daripada Ilahi. Teruskan usaha dan teruskan berdoa memohon kemenangan daripada ALLAH. Berdoa itu merupakan sebahagian daripada ibadat yang disyariatkan Islam," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika mencemar duli merasmikan pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Buku terbitan EMIR Research itu merupakan buah fikiran tokoh akademik dan cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Sultan Nazrin menjelaskan, ALLAH sangat suka hambaNya berdoa memohon dan mengharap kepadaNya.

Artikel Berkaitan:

"Orang yang senantiasa berdoa kepada ALLAH, menandakan orang itu menyedari kelemahan dirinya. Para pejuang yang mahu menegakkan kebenaran berlandaskan seruan Ilahi, hendaklah sentiasa melazimkan ibadah berdoa agar perjuangan mencapai kejayaan.

"Berpandukan fahaman, bahawa doa memiliki peranan istimewa dalam hidup insan, beta telah menitahkan di negeri Perak, untuk dilengkapkan khutbah pada setiap solat Jumaat dengan dua doa," titah Sultan Nazrin.