Thaksin, Yingluck cari kenangan lama di Pulau Pinang

Yingluck bersama abangnya melawat ke Pulau Pinang untuk bercuti bersama.
Yingluck bersama abangnya melawat ke Pulau Pinang untuk bercuti bersama.
A
A
A
GEORGETOWN - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan adik perempuannya, Yingluck Shinawatra kini berada di Pulau Pinang dipercayai untuk bercuti.

Yingluck yang memuat naik 16 keping gambar di Facebooknya pada Khamis berkata, beliau gembira dapat ke negeri ini untuk bercuti selain mereka turut melawat beberapa kawasan warisan di sekitar bandar Pulau Pinang dengan menaiki beca.

Selain itu, mereka juga dilihat menikmati pelbagai jenis makanan tempatan serta turut mengambil gambar dengan beberapa mural dan seni lukisan dinding yang terkenal di Lebuh Armenian.

Dalam catatan Facebooknya itu, Yingluck berkata, ia merupakan lawatan kedua beliau ke Pulau Pinang selepas sekian lama akibat penularan Covid-19.



"Saya ke sini untuk mencari kenangan lama bersama abang. Bandar ini telah banyak berubah. Kelihatan (di sini) seperti suasana di Phuket. Saya rindu.



"Makanan pun serupa dan yang lebih menarik adalah bandar ini sering mempunyai tempat untuk orang ramai bergambar di sepanjang laluan pejalan kaki atau kedai sebagai kenangan.

"Saya mahu bandar pelancongan kita bertambah baik untuk mempunyai lebih banyak tempat yang tidak dapat dilupakan dan tempat untuk mengambil gambar," katanya.

Beliau mengakhiri hantaran di Facebooknya dengan meminta semua orang menjaga kesihatan mereka.

Pasangan adik-beradik itu hidup dalam buangan selepas digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.
Artikel Berkaitan:


Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 selepas dituduh terbabit dalam rasuah dan tidak menghormati sistem beraja Thailand.

Yingluck pula digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2014, namun bertindak melarikan diri dari negara berkenaan selepas berdepan tuduhan kecuaian menjalankan tugas.