Malaysia-UAE sepakat memperkasakan industri pertahanan dua negara

A
A
A

Delegasi Malaysia berpeluang melihat senjata dan teknologi terkini di EDGE Group
Delegasi Malaysia berpeluang melihat senjata dan teknologi terkini di EDGE Group

KUALA LUMPUR - Malaysia melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memberi tumpuan mengukuhkan kerjasama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memperkasakan industri pertahanan bagi kedua-dua negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesepakatan itu dicapai hasil perbincangan beliau dengan Presiden UAE, Mohamed Zayed Al Nahyan dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, Mohammed Ahmed Al Bowardi.

Jelasnya, bagi menyatakan komitmen tinggi Kerajaan Malaysia-UAE untuk memperkasa industri pertahanan Malaysia, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan EDGE Group.

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group, Mansour Mohamed Al Mulla.

Hishammuddin menyaksikan majlis menandatangani MoU dengan EDGE Group sebagai bukti komitmen kedua-dua negara terhadap industri pertahanan.
Hishammuddin menyaksikan majlis menandatangani MoU dengan EDGE Group sebagai bukti komitmen kedua-dua negara terhadap industri pertahanan.

Kandungan MoU itu merangkumi penerokaan peluang kerjasama lebih erat antara LTAT dengan EDGE Group dalam usaha menyokong pelbagai bentuk keupayaan dan penyelesaian pertahanan.

Artikel Berkaitan:

Kerjasama EDGE Group dan LTAT itu juga bertujuan mengenal pasti potensi pelaburan bersama dalam bidang industri strategik dan pertahanan di Malaysia.

Hishammuddin yang kini berada di UAE sempena lawatan rasminya turut dibawa melawat ke EDGE Group, konglomerasi 25 syarikat milik Kerajaan UAE yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.

“Saya turut diberi peluang meninjau Tawazun Industrial Park, Zayed Military City di Abu Dhabi yang juga merupakan lokasi khusus untuk syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa berkaitan pertahanan membangunkan produk-produk mereka.

Hishammuddin mendengar taklimat ketika kunjungannya ke NIMR Automotive.
Hishammuddin mendengar taklimat ketika kunjungannya ke NIMR Automotive.

“Lawatan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk mempelajari pendekatan UAE memacu industri pertahanan mereka, terutamanya menerusi Tawazun Industrial Park ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kerjasama ini penting dan selari dengan perancangan Kerajaan Malaysia yang ketika ini giat merangka Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sebagai inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Katanya, teras DIPKN antaranya mewujudkan Zon Industri Pertahanan yang berkonsepkan Tawazun Industrial Park iaitu zon perindustrian yang ditubuhkan untuk membantu mengembangkan lagi keupayaan perindustrian UAE, terutamanya menyediakan pangkalan pembuatan untuk produk dan industri berkaitan pertahanan.

Hishammuddin dan delegasi Malaysia di ruang pameran EDGE Group ketika lawatan kerja di UAE.
Hishammuddin dan delegasi Malaysia di ruang pameran EDGE Group ketika lawatan kerja di UAE.

“Saya turut meluangkan masa melawat beberapa syarikat pertahanan tempatan termasuklah NIMR Automotive, pengeluar kenderaan tentera perisai dan Caracal iaitu pengeluar senjata pistol, senapang dan sniper,” ujarnya.

Hishammuddin menyifatkan kerjasama yang dibangunkan dapat meningkatkan hubungan pertahanan Malaysia-UAE ke tahap lebih tinggi.