Johor sukar digugat, Wilayah Persekutuan mula beri cabaran

Kontinjen Johor terus megah di persada carta pungutan pingat Sukma MSN 2022 pada hari kelapan.
Kontinjen Johor terus megah di persada carta pungutan pingat Sukma MSN 2022 pada hari kelapan.
A
A
A

KONTINJEN Johor terus megah di persada carta pungutan pingat Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 walaupun Wilayah Persekutuan dilihat mula mendapat momentum untuk mencabar bagi kejuaraan keseluruhan.

Pada hari kelapan temasya sukan berlangsung, Wilayah Persekutuan yang digelar sebagai 'WiPers' muncul kontinjen paling cemerlang hari ini apabila merangkul 11 daripada 59 pingat emas yang ditawarkan, selain turut meraih lapan perak dan 11 gangsa.

Sukan muay thai menjadi penyumbang terbanyak dengan empat kilauan emas, manakala angkat berat dan renang masing-masing menyumbangkan dua emas, selain masing-masing satu menerusi terjun, pencak silat dan boling.

Kejayaan tersebut menyaksikan Wilayah Persekutuan telah mengutip sejumlah 33 emas, 38 perak dan 45 gangsa untuk mengatasi Terengganu ke kedudukan kedua.

Namun, Johor yang memburu kejuaraan pertama sejak 1986, dilihat sukar digugat apabila kontinjen Harimau Selatan itu berada di kelas tersendiri dengan kejayaan menyambar 60 emas, atau 21.5 peratus daripada keseluruhan 279 pingat emas yang telah dipertandingkan setakat ini. Johor turut menang 35 perak dan 32 gangsa.

Pada hari ini, Johor berjaya meraih sembilan emas selepas meneruskan dominasi dalam sukan kayak, apabila menyapu ketiga-tiga emas dalam acara bot tradisional 1,000m lapan pengayuh lelaki, wanita dan campuran.

Kayak menjadi lubuk emas buat Johor apabila telah meraih 17 daripada 25 emas yang dipertandingkan di Kompleks Sukan Air Putrajaya setakat ini, dengan tiga lagi emas dipertandingkan esok.

Kilauan emas lain Johor diperolehi menerusi pencak silat yang menghadiahkan dua emas, serta masing-masing satu daripada memanah, renang, muay thai dan berbasikal.

Artikel Berkaitan:

Terengganu pula berada di kedudukan ketiga dengan kutipan sebanyak 33 emas, 33 perak dan 36 gangsa, selepas berjaya memburu tujuh emas hari ini, masing-masing dua menerusi memanah, judo dan muay thai, manakala satu lagi daripada sukan angkat berat.

Lebih 30 pingat emas menjadi taruhan esok dengan tumpuan berada di kolam renang yang menawarkan lapan emas, selain memanah (5), berbasikal (4), angkat berat (4) Judo (4), kayak (3), menembak (3) dan gimrama (2).