MFL batal slot TM Piala Malaysia MUFC

No Image Caption
A
A
A

PIHAK Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan slot Melaka United FC (MUFC) untuk beraksi pada saingan TM Piala Malaysia 2022 berikutan kegagalan kelab berkenaan melunaskan tunggakan gaji pemain serta pegawai.

MFL memberitahu, keputusan pembatalan slot MUFC itu dibuat setelah Ahli Lembaga Pengarah MFL selesai bermesyuarat pada Rabu.

Menurut MFL, keputusan itu dibuat selepas kelab berkenaan gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

“Melaka United (MUFC) telah menerima notis peringatan pada 6 September 2022 untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September 2022, bagaimanapun pada hari ini, 21 September 2022 (Rabu), MUFC hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

“MUFC telah gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan di mana mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun 2022. Malah mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.

“Maka atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan MUFC bertanding dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini," kata MFL dalam satu kenyataan pada Rabu.

MFL turut mengingatkan agar MUFC dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023.

Susulan pembatalan slot MUFC untuk TM Piala Malaysia, pihak MFL juga bakal membuat pengumuan dalam masa terdekat mengenai pasukan gantian bagi mengisi slot yang ditinggalkan oleh MUFC kali ini.

Sementara itu, MFL turut memberitahu, Sarawak United FC telah selesai menjelaskan kesemua tunggakan gaji pemain sehingga Ogos 2022 manakala bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan pula telah dibayar sehingga Julai 2022.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun Sarawak United FC dan pegawai pasukan dikatakan telah mencapai persetujuan bersama berhubung bayaran tunggakan gaji bagi Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan oleh pihak pengurusan Sarawak United FC untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United FC agar isu seumpama ini tidak berulang lagi yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023,” menurut MFL.