JMG ambil sampel volkano lumpur untuk dianalisa

Sampel volkano lumpur yang diambil oleh JMG di lokasi kejadian di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.
Sampel volkano lumpur yang diambil oleh JMG di lokasi kejadian di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Mineral Geosains (JMG) Sabah mengesahkan pihaknya sudah mengambil sampel lumpur hasil 'muntahan' daripada letusan volkano lumpur yang berlaku di kawasan Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu Ahad lalu.

Pengarahnya, Dr Frederick Francis Tating berkata, kerja mengambil sampel lumpur sudah dilakukan pada Selasa di lokasi berlakunya letusan volkano lumpur itu.

Menurutnya, JMG telah menjalankan siasatan di tapak lokasi volkano lumpur bagi menyiasat proses geologi, menilai kesan letusan dan sampel yang diambil hanya bahan lumpur untuk dianalisis.

"Strukturnya lembut tetapi likat dan berwarna kelabu gelap sama seperti lumpur biasa cuma ia dari bahagian bawah bumi. Perbezaannya adalah mungkin kandungan mineral dalam lumpur itu sendiri.

"Biasanya juga lumpur itu mungkin sedikit hangat ketika ia keluar tetapi bukannya cairan lava sebaliknya hanya lumpur semata-mata.

"Jadi semalam, kami sudah ambil sampel untuk dibawa ke Kota Kinabalu untuk dianalisa bagi mengetahui kandungannya dan prosesnya mungkin memakan masa kira-kira tempoh seminggu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ditanya jika limpahan lumpur berkenaan boleh memberi kesan, Frederick berkata, risiko letusan volkano lumpur itu terhad di kawasan kawah utama sahaja.

"Maksudnya kawasan rebakan (muntahan lumpur) hanya di kawasan kawah, ia tidak merebak di tempat lain tetapi bahaya juga jika ada yang pergi ke kawasan lumpur berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut tidak menolak bahawa volkano lumpur itu mempunyai kandungan mineralnya yang tersendiri yang dikatakan baik untuk kesihatan kulit.

"Di negara luar seperti di Taiwan, Jepun atau di tempat kita sendiri di Pulau Tiga, Kuala Penyu ada amalan pengunjung mandi di kolam lumpur dan dikatakan untuk kebaikan kulit.

"Dari segi geologinya, mungkin ia adalah disebabkan kandungan mineral yang keluar dari bumi tetapi saya sendiri kurang pasti setakat mana manfaatnya.

"Cuma menurut hasil kajian kami sebelum ini, limpahan lumpur itu turut mengeluarkan gas metana seperti lumpur di Pulau Tiga memang ada gas," jelasnya.