Dua premis jual 'android box' diserbu

Penguat kuasa KPDNHEP sedang memeriksa alat teknologi penstriman dalam serbuan di sebuah premis di pusat beli-belah di sini pada Khamis lalu.
Penguat kuasa KPDNHEP sedang memeriksa alat teknologi penstriman dalam serbuan di sebuah premis di pusat beli-belah di sini pada Khamis lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyerbu dua premis menjual alat teknologi penstriman (android box) di sebuah pusat beli-belah di sini pada Khamis lalu.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan itu adalah hasil maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal dilakukan oleh pihaknya.

"Kita telah merampas sebanyak 11 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen berkaitan disyaki mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya oleh pemilik hak cipta, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,500," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azman berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pemilik dan pekerja di premis terbabit untuk siasatan lanjut.

"Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

"Jika sabit kesalahan pihak terbabit boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya," tegasnya.

Beliau berkata, KPDNHEP telah menambah baik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu.

“Ia memberi penekanan dalam usaha pihak kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, pihak kementerian juga ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini.

"Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan dan tegas akan dilakukan kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta dilindungi,” katanya.