Brek rosak, pemandu lompat keluar lori selamatkan diri

Keadaan lori yang merempuh tembok konkrit di persimpangan lampu isyarat Persiaran Sultan Hishamudin pada Selasa.
Keadaan lori yang merempuh tembok konkrit di persimpangan lampu isyarat Persiaran Sultan Hishamudin pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Akibat masalah brek, seorang pemandu bertindak melompat keluar dari lori dipandunya selepas kenderaan terbabit hilang kawalan sebelum merempuh tembok konkrit di persimpangan lampu isyarat Persiaran Sultan Hishamudin di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun kira-kira jam 6.44 petang Selasa.

"Hasil siasatan awal dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang di mana pemandu lori berkenaan hilang kawalan kerana mengalami masalah brek.

"Pemandu lori cuba untuk mengawal kenderaan dengan meluruskan stereng ke arah tembok konkrit untuk memberhentikan kenderaan dan telah melompat keluar dari lori bagi menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Vijaya berkata, pemandu terbabit mengalami kecederaan luka di kaki, belakang badan dan bengkak di bahagian lutut kanan akibat terjun dari lori terbabit.

"Ujian urin terhadap lelaki terbabit didapati negatif," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kenderaan tersebut akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca kejadian," katanya.