Ratu kayak Sukma 2022 mungkin bersara awal

Syahida Asyiqin
Syahida Asyiqin
A
A
A

RATU kayak Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Syahida Asyiqin Rusli mungkin akan mengambil keputusan untuk bersara meskipun umurnya baru berusia 18 tahun.

Menurut Syahida Asyiqin, keputusan itu mungkin diambil memandangkan beliau mahu memberi fokus penuh kepada pelajaran apabila mengakui sudah mendapat tawaran daripada universiti swasta.

“Saya sebenarnya sangat berpuas hati dengan persembahan saya di temasya ini. Malah saya juga tidak menjangka mampu melakar kejayaan macam ini memandangkan ia Sukma pertama saya.

“Bagaimanapun selepas ini, saya mungkin tidak akan meneruskan karier dalam kayak secara kompetitif. Mungkin saya akan bersara selepas Sukma ini," katanya.

Syahida Asyiqin berkata, beliau merancang untuk sambung belajar dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics pada tahun ini.

“Namun sekiranya saya dapat peluang yang mana boleh seimbangkan antara belajar dan bersukan, mungkin saya akan pertimbangkan. Sebab bagi saya pelajaran yang paling penting ketika ini,” katanya.

Pada Selasa, Syahida Asyiqin mencipta sensasi apabila terus menampilkan aksi cemerlang selepas menambah dua kilauan pingat emas dalam sukan kayak temasya Sukma MSN 2022.

Pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Syahida Asyiqin berjaya mengungguli acara K1 200 meter (m) dengan catatan masa 47.315 saat (s) dan K2 200m (46.365 s) dengan kedua-duanya berjaya memperbaharui rekod kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Ini bukanlah kali pertama Syahida Asyiqin berjaya memperoleh emas serta memecahkan rekod kebangsaan memandangkan dia turut memecah empat rekod kebangsaan dalam acara K1 1000m (4:24.494s), K1 500m (2:8.362s) K1 200 (47.315s) dan K2 200m (46.365s).

Secara keseluruhan untuk acara kayak, atlet berasal dari Kuala Terengganu itu sudah meraih empat emas, dua perak dan satu gangsa setakat ini.