Mayat penuntut lemas ditemukan

Anggota bomba membawa mayat penuntut yang ditemukan lemas di Sungai Manjung, hari ini, untuk diserahkan kepada pihak polis. (Gambar kecil: Muhammad Zaffan)
Anggota bomba membawa mayat penuntut yang ditemukan lemas di Sungai Manjung, hari ini, untuk diserahkan kepada pihak polis. (Gambar kecil: Muhammad Zaffan)
A
A
A

SITIAWAN - Mayat penuntut Universiti Kuala Lumpur kampus cawangan Institut Teknologi Kejuruteraan Marin (UNIKL - MIMET) yang dikhuatiri lemas di Sungai Manjung di sini, semalam, ditemukan pada jam 12.50 tengah hari ini.

Mayat Muhammad Zaffan Baharuldin, 27, yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur itu timbul di permukaan air kira-kira 30 meter dari tempat mangsa dilihat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa mandi di muara sungai terbabit sempat meminta tolong kepada rakannya yang berada di tebing sebelum tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan lebih 17 jam itu melibatkan 32 anggota termasuk polis, polis marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Semalam, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan anggota bertindak menggunakan dua bot untuk membuat pencarian secara permukaan.

"Hari ini operasi diteruskan dengan menggunakan khidmat lapan anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor dengan membuat selaman pada kedalaman 4 meter di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu akhirnya timbul dan anggota bertindak membawanya ke tebing untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan operasi tamat pada jam 1.30 petang," katanya.

Artikel Berkaitan: