Cabaran Memancing Keluarga Malaysia tawar habuan lumayan

Jasni dan Mohamed Fauzi (dua dari kiri) ketika majlis pelepasan spesis tongsan dan leko untuk Cabaran Memancing Keluarga Malaysia Ahad ini.
Jasni dan Mohamed Fauzi (dua dari kiri) ketika majlis pelepasan spesis tongsan dan leko untuk Cabaran Memancing Keluarga Malaysia Ahad ini.
A
A
A

KEPONG - Hadiah termasuk wang tunai keseluruhan bernilai RM23,000 menanti peserta Cabaran Memancing Keluarga Malaysia 2022, Ahad ini.

Pertandingan yang diadakan di Tasik Metropolitan Kepong atau dikenali Taman Layang-Layang itu dijangka disertai 700 peserta.

Penolong Pengarah TM Wilayah Tengah, Jasni Abdullah berkata, pihaknya berharap dapat meningkatkan promosi pelancongan domestik sebagai usaha merancakkan lagi ekonomi negara melalui program Cabaran Memancing Keluarga Malaysia ini.

“Jadi program ini bertujuan memberi motivasi dan sokongan kepada penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur bagi merangsang pertumbuhan semula industri pelancongan di ibu kota terutamanya tasik-tasik di Kuala Lumpur sebagai riadah sihat bersama keluarga merapatkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan komuniti setempat bagi berdiri teguh untuk keluarga Malaysia.

“Aktiviti bertemakan Keluarga Malaysia itu sememangnya dinantikan kaki pancing khususnya di ibu kota.

“Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing apabila dalam pertandingan sebelum ini lebih 600 ekor ikan dinaikkan kaki pancing antaranya tilapia, patin, belida, toman, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100gram hingga 10 kilogram.

“Selepas tiga tahun tiada pertandingan di sini ia kembali lagi dan tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini daripada warga kota,” katanya ketika melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu antaranya tongsan dan lekor dengan berat antara tiga kilogram hingga lima kilogram pada Selasa.

Pada masa sama Jasni berkata, para peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga sepanjang menyertai aktiviti tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Matlamat kita dalam menggalakkan pelancongan domestik tercapai apabila melibatkan kehadiran pelancong dari luar ke Kuala Lumpur amnya," katanya.

Juara pertandingan akan membawa pulang RM7,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), ke 4 hingga ke-10 (RM200).

Tempat ke-11hingga 20 (RM150) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100 setiap seorang).

“Hadiah khas untuk pemenang ikan keli turut disediakan sehingga tempat ke-10 serta hadiah cabutan bertuah antaranya TV LED 43 inci serta barangan peralatan memancing menanti peserta," ujarnya.

Penganjuran bersama Nadi Media Events dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mendapat sokongan dari Tourism Malaysia.

Yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan 500 penyertaan awal akan menerima baju-T sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini mulai jam 2 petang hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Selain itu, ia juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi yang boleh dimanfaatkan warga Kuala Lumpur dengan aktiviti sihat.

Sementara itu, Ketua Unit Kebudayaan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, Mohamed Fauzi Ahmad berkata, Taman Tasik Metropolitan Kepong mempunyai keunikan tersendiri kerana pelbagai spesies ikan termasuk patin, tongsan, rhu, tilapia dan toman dengan berat antara lapan hingga 20 kilogram menanti kaki pancing.

"Selain itu, ia antara taman rekreasi terbesar di ibu negara, Taman Metropolitan Kepong dengan keluasan 90 hektar menyediakan pelbagai kemudahan riadah, tasik yang luas dan bersantai terutama bermain layang-layang,” katanya.

Pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau melayari laman sosial facebook.com/jorankl.