[VIDEO] Polis kesan lelaki himpit, halang kenderaan di lampu isyarat

Polis sedang mengesan suspek yang bertindak menghalang kenderaan mangsa di sebuah lampu isyarat. - Foto Facebook
Polis sedang mengesan suspek yang bertindak menghalang kenderaan mangsa di sebuah lampu isyarat. - Foto Facebook
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki bersama keluarganya berdepan detik cemas apabila secara tiba-tiba kenderaan dinaiki mereka dihalang sebuah kereta lain dari arah bertentangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, risau diapa-apakan, mangsa bertindak mengundurkan kenderaan lalu memecut laju melarikan diri namun suspek terus mengejarnya.

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang cuba menghalang dan menakutkan secara jenayah.

"Suspek bertindak menghimpit dan mengejar kereta mangsa supaya berhenti hingga mendatangkan bahaya kepada keluarga mangsa. Tidak dapat dipastikan motif suspek terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Detik-detik cemas itu tular selepas video rakaman kamera papan pemuka dari kenderaan dinaiki mangsa dimuat naik seorang pengguna Facebook pada Isnin.

Video berdurasi tiga minit itu memaparkan sebuah kenderaan berwarna merah secara tiba-tiba menghalang mangsa dan keluarganya di sebuah lampu isyarat sebelum berlaku kejar mengejar antara mereka.

Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, mangsa yang ketakutan terus memandu melarikan diri sehingga berjaya meninggal suspek di belakang.

Katanya, polis telah mengenal pasti suspek dan sedang mengesan lelaki terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fudhail Zikri di taluan 01156566511,"ujar beliau.