Polis lengkapkan kertas siasatan kes bapa pelakon remaja

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
A
A
A

PETALING JAYA - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan bapa kepada seorang pelakon remaja perempuan berkaitan dakwaan serangan seksual.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

"Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh reman tamat pada hari ini," katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Ahad hingga Selasa.

Pada Sabtu, suspek ditahan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada jam 4.10 petang.

Tangkapan ke atas suspek adalah bagi membantu siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh bekas isteri suspek.

Kertas siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Pada 5 September Sinar Harian melaporkan, suspek membuat laporan di Balai Bandar Baharu, Kedah susulan pendedahan dibuat anaknya dengan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan bapanya semasa berusia enam tahun.

Artikel Berkaitan:

Pelakon remaja berusia 15 tahun terbabit juga membuat laporan di IPD Subang Jaya pada 6 September lalu mendakwa serangan seksual terbabit berlaku antara tahun 2013 hingga 2017 semasa ibu mangsa tiada di rumah.

Pada 7 September media melaporkan, suspek yang berusia 43 tahun direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul; Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Suspek diserahkan ke IPD Shah Alam pada 12 September lalu bagi membantu siasatan berhubung satu laporan dibuat mangsa di sini sebelum dirujuk ke IPD Klang Utara, pada Jumaat.