Bapa pelakon remaja direman tiga hari lagi

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Bapa kepada seorang pelakon remaja direman tiga hari lagi bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan serangan seksual.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, suspek direman bermula Ahad hingga Selasa.

"Suspek ditahan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada jam 4.10 petang Sabtu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Ku Mashariman memaklumkan tangkapan ke atas suspek adalah bagi membantu siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh bekas isterinya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Pada 5 September Sinar Harian melaporkan, suspek membuat laporan di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah susulan pendedahan dibuat anaknya dengan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan bapanya semasa berusia enam tahun.

Susulan itu, pelakon remaja berusia 15 tahun berkenaan membuat laporan di IPD Subang Jaya pada 6 September mendakwa serangan seksual terbabit berlaku antara tahun 2013 hingga 2017 semasa ibu mangsa tiada di rumah.

Pada 7 September media melaporkan, suspek yang berusia 43 tahun direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul; Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Suspek diserahkan ke IPD Shah Alam pada Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung satu laporan dibuat mangsa di sini sebelum dirujuk ke IPD Klang Utara pada Jumaat.