Asyraf Wajdi cabar Muhyiddin, tarik sokongan terhadap PM

Asyraf Wajd (kiri)i, Muhyiddin
Asyraf Wajd (kiri)i, Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencabar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengarahkan semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tegasnya, jika Muhyiddin yakin kerajaan hari ini gagal mengurus ekonomi dan perlu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pengerusi PN itu tidak seharusnya hanya ‘menyalak’ dan menggertak.

“Buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segera arah anak-anak buah Tan Sri (Muhyiddin) dalam kerajaan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Kalau berani tekan butang sekarang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Muhyiddin pada Isnin berpendapat sekiranya Ismail Sabri terus gagal menguruskan ekonomi dan negara, sebaiknya pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.

Asyraf Wajdi berkata, keadaan ekonomi hari ini jauh lebih baik daripada sewaktu Muhyiddin membuat ‘lockdown’ separa masak paling lama dan menggantung Parlimen sewenangnya beberapa bulan.

“Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi? Siapa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI? Siapa Menteri Perancang Ekonomi (EPU)? Dan siapa Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi? Bukankah semuanya termasuk Tan Sri (Muhyiddin) daripada parti bunga? Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?

Artikel Berkaitan:

“Apakah setelah Tengku Zafrul isytihar menyertai BN, maka Menteri Kewangan lantikan Tan Sri (Muhyiddin) bahkan disyaratkan oleh Tan Sri sendiri untuk dikekalkan sebagai Menteri Kewangan zaman Datuk Seri Ismail Sabri terus diisytiharkan gagal juga?” soalnya.