Jika PM gagal urus ekonomi, lebih baik buat PRU: Muhyiddin

Muhyiddin menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa Perdana Menteri tidak melihat kejatuhan ringgit pada masa ini sebagai isu serius.
Muhyiddin menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa Perdana Menteri tidak melihat kejatuhan ringgit pada masa ini sebagai isu serius.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus gagal menguruskan ekonomi dan negara, sebaiknya pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.

Pada masa sama, BN sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan. Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen.

"Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Muhyiddin mendakwa, isu kejatuhan nilai ringgit tidak dipandang serius dan Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay. Saya tahu tidak semuanya baik di luar sana," jelas beliau.

Menurutnya, Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan dengan nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion pada tahun lalu.

“Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal. Adakah semuanya baik-baik? Tidak ia tidak baik sebenarnya.

Artikel Berkaitan:

“Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting. Mungkin kerana itulah hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini.

“Aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18 peratus berpuas hati,” ujar Muhyiddin.

Katanya lagi, berdasarkan laporan kajian yang dilaksanakan Merdeka Centre for Opinion Research pada Disember tahun lalu mendapati, 12 peratus rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari, 12 peratus tangguh rawatan perubatan serta 31 peratus lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.

“Selain itu, kajian oleh Mindshare, sebuah entiti bukan kerajaan, menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara. 76 peratus daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

“Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat,” jelasnya.

Beliau menambah, industri kelapa sawit sahaja rugi RM10.25 bilion pada tahun lalu kerana kekurangan pekerja untuk menuai buah.

“Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet. Namun, setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini,” katanya.