Skuasy: Wilayah Persekutuan tamatkan dominasi Kedah

Yiwen bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara skuasy individu wanita akhir Sukma ke-20 di Pusat Skuasy Jalan Duta pada Selasa. - Foto Bernama
Yiwen bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara skuasy individu wanita akhir Sukma ke-20 di Pusat Skuasy Jalan Duta pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET skuasy kebangsaan, Chan Yiwen berjaya menamatkan dominasi Kedah selama lapan tahun acara perseorangan wanita apabila berjaya merebut kejuaraan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 pada Selasa.

Kejayaan atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) itu lebih bermakna apabila beliau berjaya menebus kekalahannya menundukkan Aira Azman selepas pernah tewas pada kakaknya, Aifa Azman di Sukma Perak 2018.

Perlawanan yang berlangsung di Pusat Skuasy, Jalan Duta pagi Selasa, menyaksikan atlet berusia 23 tahun itu menewaskan Aira 11-3,8-11,3-11,11-5,11-4 pada perlawanan sengit sebelum muncul juara acara terbabit.

Yiwen yang merupakan pemain pilihan kedua perlawanan berkata berpuas hati mampu menyumbang emas buat kontinjen WiPers.

"Pada set kedua saya dah mula hilang kawalan sebab saya memang rasa tak sihat, tapi bila saya bercakap dengan skuad saya yang lain, mereka memberi semangat dan saya bangkit pada set keempat dan kelima.

"Semua finalis adalah dari Kedah, dan saya rasa ini merupakan peluang terbaik saya untuk curi pingat emas buat WiPers dan saya berjaya lakukannya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini pada Selasa.

Yiwen berkata, kemenangan yang diraih turut menjadi pembakar semangat buatnya untuk memburu emas berkumpulan bagi Kejohanan Berpasukan Asia 2022 di Korea bulan depan.

Kedah mendominasi acara perseorangan wanita bermula Sukma Perlis 2014 serta Sukma Sarawak 2016 menerusi S. Sivasangari, seterusnya atletnya Aifa meraih kejuaraan pada Sukma Perak 2018.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, gangsa menjadi milik Wen Li Lai daripada Sabah selepas cabarannya Noor Ainaa Amani Ampandi yang mewakili Wilayah Persekutuan menarik diri akibat mengalami kecederaan.

Atlet Kedah, Ong Sai Hung mengungguli emas selepas menumpaskan rakan sepasukan Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 11-7,11-5, 5-11,11-6 manakala atlet Negeri Sembilan, J. Sanjay meraih gangsa selepas menundukkan rakan sepasukan P. Darren Rahul 11-7,15-13,5-11,12-14,12-10. - Bernama