‘Fat Leonard’ kini di Venezuela?

Poster memaparkan wajah Francis yang diklasifikasikan oleh Marsyal AS sebagai pelarian kes utama. - Foto Agensi
Poster memaparkan wajah Francis yang diklasifikasikan oleh Marsyal AS sebagai pelarian kes utama. - Foto Agensi
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah dua minggu melarikan diri dari tahanan rumah di Amerika Syarikat, lokasi ahli perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis, 57, atau ‘Fat Leonard’ didakwa telah ditemukan.

Pendedahan itu dibuat wartawan, Tom Wright melalui buletin mingguan ‘Whale Hunting’ yang mendakwa kontraktor kelahiran Pulau Pinang itu kini berada di Venezuela dan berkemungkinan dalam perjalanan ke Brazil.

Fat Leonard yang terlibat dengan skandal rasuah, meloloskan diri dari tahanan rumah di San Diego, California pada 4 September lalu iaitu beberapa minggu sebelum hukuman ke atasnya diputuskan pada 22 September ini.

Sebelum ini, perkhidmatan Marsyal Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sehingga AS$40,000 (RM179,920) untuk mendapatkan maklumat tentang Fat Leonard.

Dalam tulisannya, Tom mendakwa telah berjaya menyeludup mikrofon kepada Leonard dalam tahanan rumah pada tahun lepas dan berjaya merakam audio selama 25 jam untuk aplikasi penstriman audio iaitu podcast.

Tom turut menyiarkan transkrip sembilan sedutan temu ramahnya bersama Leonard yang dibuat melalui siaran podcast itu.

“Leonard mengakui kepada saya bahawa dia membuat tuntutan bil lebih tinggi daripada sepatutnya dan membayar rasuah tunai, tetapi dia berkata ramai dalam tentera laut tahu apa yang sedang berlaku.

“Jejak itu menjadi gelap seketika selepas dia memotong gelangnya. Seorang marshal Amerika Syarikat telah membuat spekulasi dia boleh dengan mudah melepasi sempadan ke Mexico, hanya 40 minit pemanduan dari rumahnya.

Artikel Berkaitan:

“Spekulasi itu nampaknya betul. Dua minggu kemudian Whale Hunting mendapat maklumat bahawa Leonard dengan ditemani oleh anak lelaki dewasanya, Leonardo telah berjaya ke Venezuela,” katanya.

Bagaimanapun, Tom mendakwa, seorang bekas pegawai Amerika Syarikat yang menyiasat skandal Fat Leonard mencadangkan Brazil, di mana Leonard mempunyai hubungan peribadi dan perniagaan.

“Kami bersetuju. Dalam perbualan saya dengan Leonard, dia bercakap mesra tentang teman wanita Jepun-Brazil bernama Leticia yang dia telah sediakan di sebuah rumah di Sao Paolo, bandar selatan Brazil.

“Venezuela mempunyai sempadan yang panjang dan berliang dengan Brazil, jadi tidak sukar untuk meneka ke mana Leonard dan anaknya pergi,” jelasnya.

Leonard yang mengendalikan firma kontraktor tentera berpusat di Singapura, pertama kali ditahan pada 2013 ketika operasi dilancarkan agensi persekutuan di sebuah hotel di San Diego.

Dia disyaki terlibat dalam skim rasuah melibatkan beberapa pegawai Tentera Laut AS dengan menawarkan rasuah termasuk perkhidmatan seks sebagai pertukaran untuk mendapatkan kontrak.

Pada 2015, Leonard mengaku bersalah menawarkan wang suapan berjumlah kira-kira AS$500,000 (RM2.24 juta) kepada pegawai Tentera Laut AS untuk memperoleh kontrak dan dikatakan turut mengaut keuntungan sebanyak AS$35 juta (RM157 juta) akibat kos bayaran secara berlebihan.

Dia dikatakan mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk barah buah pinggang yang menyebabkannya diletakkan di bawah tahanan rumah pada 2018 di samping menjadi saksi kerjasama untuk pendakwa raya persekutuan.