[VIDEO] Warga Malaysia terlibat rasuah tentera AS lari tahanan rumah

Leonard Francis - Foto Washington Post
Leonard Francis - Foto Washington Post
A
A
A

WASHINGTON - Seorang kontraktor tentera, Leonard Francis yang pernah mengaku salah dalam skandal rasuah terburuk Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) berjaya melarikan diri dari tahanan rumah di San Diego, AS, kata Perkhidmatan Marsyal negara itu pada Isnin.

"Leonard Francis memotong gelang buku lali pemantauan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada pagi Ahad," kata Timbalan Penyelia Marsyal AS, Omar Castillo kepada AFP dalam satu kenyataan.

Dikenali secara meluas sebagai Fat Leonard, Francis sepatutnya dijatuhkan hukuman dalam tempoh tiga minggu, kata media AS.

Francis, seorang warganegara Malaysia yang mengendalikan sebuah syarikat kontrak tentera keluar dari Singapura mengaku bersalah pada tahun 2015 kerana menawarkan rasuah kira-kira AS$500,000 (RM2.24 juta) kepada pegawai Tentera Laut AS untuk mengarahkan kerja-kerja rasmi ke limbungan kapalnya, menjalankan kerja di kapal-kapal AS.

Menurut pihak pendakwa raya, dia mengenakan bayaran berlebihan kepada Tentera Laut untuk sehingga mencecah AS$35 juta (RM157.22 juta)

Polis kemudian dihantar ke kediamannya di San Diego pada Ahad selepas agensi yang memantau gelang buku lalinya melaporkan terdapat masalah pada peranti itu, kata Castillo.

Setibanya di kediamannya, mereka menyedari tiada sesiapa di rumah.

"Mereka kemudian memberitahu Marshal AS yang pergi ke rumah itu dan mengesahkan bahawa dia tidak lagi berada di sana. Buat masa ini beberapa petunjuk sedang disiasat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

San Diego Union-Tribune melaporkan bahawa gelang GPS yang dipotong telah ditemui di dalam rumahnya manakala jiran berkata, mereka telah melihat sebuah trak datang ke kediaman tersebut pada hari sebelum dia melarikan diri.

Francis telah ditangkap pada tahun 2013 dan mengaku bersalah dua tahun kemudian.

Dia mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kanser buah pinggang yang menyebabkannya dibebaskan dari tahanan rumah pada tahun 2018 sambil bertindak sebagai saksi kerjasama untuk pendakwa raya persekutuan.

Dia sepatutnya dijatuhkan hukuman pada 22 September depan.

Empat pegawai Tentera Laut AS telah didapati bersalah dalam kes itu setakat ini manakala 29 orang lagi, termasuk pegawai tentera laut, kontraktor dan Francis sendiri, telah mengaku bersalah, kata media AS. - Agensi