Saintis China temui bukti lahar pernah terdapat di bulan

Bulan pernah mempunyai sejarah aliran lahar berdasarkan bukti geologi. - Foto AFP
Bulan pernah mempunyai sejarah aliran lahar berdasarkan bukti geologi. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Satu pasukan penyelidik dari China telah menemui bukti geologi bahawa terdapat sekurang-kurangnya empat lapisan aliran lahar di bulan, menurut kenyataan akhbar dari Pusat Sains Angkasa Lepas Kebangsaan (NSSC) negara itu baru-baru ini.

Sebelum ini, misi kapal angkasa tanpa pemandu di negara itu, Chang'e-5 membawa sejumlah 1,731 gram sampel bulan kembali ke bumi pada penghujung tahun 2020 lalu.

Para saintis yang melakukan penyelidikan itu turut mencadangkan bahawa kawasan pendaratan Chang'e 5 adalah kaya dengan unsur penghasilan haba termasuk uranium, torium dan kalium.

Menurut mereka, unsur-unsur itu meningkatkan aktiviti gunung berapi yang telah lama wujud di bulan.

Du Jun yang mengetuai penyelidikan itu memberitahu China Daily bahawa kajian ketebalan batu basalt dan kadar letusannya di kawasan pendaratan Chang'e-5 akan meningkatkan lagi pemahaman tentang aktiviti gunung berapi bulan dan sejarah evolusi haba dalaman.

Basalt ialah batu igneus yang berwarna gelap dan berasal dari gunung berapi.

Du juga berhujah bahawa kadar letusan di kawasan pendaratan Chang'e-5 meningkat dengan ketara kira-kira dua bilion tahun lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: