PRN: Wanita Amanah dijangka tanding sekurang-kurangnya 5 kerusi

Anfaal (gambar kecil) berkata, jentera AWAN sudah mulakan langkah dekati anak muda dengan menggunakan media sosial seperti TikTok.
Anfaal (gambar kecil) berkata, jentera AWAN sudah mulakan langkah dekati anak muda dengan menggunakan media sosial seperti TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dijangka bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Naib Ketua AWAN, Anfaal Saari berkata, jumlah berkenaan masih belum muktamad namun sayap itu akan bertanding di tiga negeri.

“Daripada lima kerusi, tiga daripadanya akan dipertandingkan di Selangor manakala satu di Kedah dan Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas rakaman Podcast Sinar Harian di sini.

Pada 11 Julai, Sinar Harian melaporkan Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka akan bertanding di semua negeri pada PRN akan datang dengan jumlah di antara 31 ke 33 kerusi.

Mengulas lanjut, Anfaal memberitahu, jentera berkenaan sudah bersedia untuk menghadapi PRN enam negeri itu.

Katanya, PRN itu akan melibatkan ramai ahli AWAN dari negeri-negeri yang tidak bertanding dalam membantu proses berkempen seperti memberi latihan kepada calon dan unit kempen lapangan.

Pada masa sama, beliau berkata, jentera berkenaan sudah memulakan langkah mendekati anak muda dengan menggunakan media sosial seperti TikTok.

“Kini, kita (AWAN) tidak boleh menolak kepentingan media sosial kerana ia merupakan platform untuk menyalurkan informasi kepada masyarakat terutamanya belia.

“Dengan menggunakan TikTok, kita juga menyediakan latihan khas kepada jentera-jentera tentang cara penghasilan kandungan yang baik untuk disebarkan kepada khalayak umum,” ujarnya.