Kerajaan PH berjaya kurangkan 90 peratus rasuah

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengurangkan rasuah sebanyak 90 peratus sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, semasa era pentadbiran beliau bersama Barisan Nasional (BN), amalan rasuah tidak begitu teruk sehingga kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik dan banyak perkara dapat dilaksanakan serta mendapat keyakinan rakyat.

Bagaimanapun, selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pentadbiran, amalan rasuah semakin banyak yang turut melibatkan dirinya sehingga jentera kerajaan turut terpalit dengan amalan tersebut.

"Apabila kami mengambil alih, (amalan rasuah) berhenti dengan serta-merta pada waktu itu. Kerajaan sebenarnya tidak korup tetapi kita menyingkirkan orang yang melakukan rasuah. Kami juga mengambil tindakan mahkamah. Ketika ini kami masih menerima banyak lagi maklumat mengenai rasuah yang berlaku sebelum ini.

"Saya boleh katakan bahawa amalan rasuah kini semakin berkurangan. Sebagai contoh, seorang setiausaha politik yang dituduh menerima jam, tetapi ini kecil berbanding bilion ringgit yang dicuri sebelum ini. Jadi saya boleh katakan kita telah mengurangkan rasuah sebanyak 90 peratus.

"Kita tidak lagi menerima aduan daripada orang ramai apabila mereka ke pejabat kerajaan dan mereka diminta duit," katanya pada sesi temubual khas yang disiarkan menerusi akhbar New Sunday Times (NST) hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, terdapat banyak skandal berlaku dalam negara bukan hanya melibatkan Syarikat Pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) malah turut melibatkan SRC International Sdn Bhd, Tabung Haji, Felda dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Jelas beliau, wang dimiliki oleh institusi tersebut dirompak dan diurus dengan buruk sehingga mengalami kesukaran untuk diselesaikan kerana wang tersebut telah hilang.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, jika kamu melabur dalam Petro Saudi, jika ia pelaburan yang benar maka kita boleh selesaikan dan dapatkan balik duit kita tetapi duit ini tidak ada dengan Petro Saudi. Duit ini telah pergi ke merata tempat dan kita percaya, ia berakhir dalam akaun dia," katanya

Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan, peruntukan undang-undang menyatakan bahawa perlu dibuktikan duit itu dimiliki oleh individu yang didakwa atau kes tersebut tidak boleh dibawa ke mahkamah.