Wipers dominasi boling padang

Muizzuddin (kanan) dan Huzaimi menyumbang pingat emas buat kontinjen Wilayah Persekutuan selepas mengungguli acara pairs lelaki boling padang Sukma MSN 2022. Foto FB Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.
Muizzuddin (kanan) dan Huzaimi menyumbang pingat emas buat kontinjen Wilayah Persekutuan selepas mengungguli acara pairs lelaki boling padang Sukma MSN 2022. Foto FB Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.
A
A
A

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) mendominasi gelanggang boling padang selepas meraih dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 di Kompleks Sukan Bukit Kiara, pada Isnin.

Gandingan Mohd Muizzuddin Sanip-Muhammad Huzaimi Junaidi menyumbang emas acara pairs lelaki selepas mengetepikan pasangan dari Perak Ahmad Zikri Sazeli-Muhamed Aqil Syahmi Mohamed Azian 18-10.

Mohd Muizzuddin berkata, walaupun agak gementar kerana kali pertama berjaya ke final Sukma, namun mereka berjaya mengekalkan rentak perlawanan sehingga berjaya muncul juara edisi kali ini.

“Masa perlawanan kami tinggalkan Perak jauh. Sepanjang perlawanan memang minta tunjuk ajar daripada jurulatih untuk teruskan momentum yang baik.

“Permulaan perlawanan memang gementar sebab kali pertama mara ke final Sukma. Kami memang 'target' emas untuk WiPers, jadi kami lakukan yang terbaik,” katanya kepada media.

Mohd Muizzuddin akan turun pada Khamis bagi membantu skuad Wilayah Persekutuan memburu emas dalam acara fours lelaki.

Pingat gangsa acara pairs lelaki menjadi milik pasangan Selangor, Mohammad Haikal Roslan-Muhammad Haiqal Azami selepas menewaskan Muhammad Syazani Suhaimi-Umairul Taqwa Abdul Rahim dari Perlis 16-12 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Dalam pada itu, Wipers dibarisi Aqilah Syazwani Roslan, Nur Aimileeya Ismail, Nurul Husna Suraya dan Nurulfarra Adiba Muhammad Ridhwan menambah koleksi emas acara fours wanita boling padang selepas menang tipis 13-12 ke atas kuartet dari Perlis.

Artikel Berkaitan:

Sarawak pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas menundukkan Johor 15-14 dalam perlawanan penentuan gangsa.

Kontinjen Perak mengungguli acara triples lelaki selepas menewaskan Johor 18-4, manakala gangsa menjadi milik Sabah selepas membenam Wilayah Persekutuan 15-12.

Terengganu mengungguli acara perseorangan wanita menerusi Nor Zamziezah Ahmad yang menewaskan wakil Kedah Nurul Alia Fitrah Mohamad Ali 20-13 manakala gangsa menjadi milik Nik Asma Ifatul Aisya Bahari dari Pahang. - Bernama