Kenaikan insentif SHAKAM suntik semangat pelumba pecut berpasukan wanita - Amarjit

KENAIKAN kadar insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi atlet acara berpasukan disifatkan mampu menyuntik semangat baharu kepada pelumba negara, khususnya skuad pecut berpasukan wanita yang meraih pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, peningkatan ganjaran itu merupakan langkah tepat pada masanya, terutama dalam memberi motivasi kepada atlet negara menjelang Sukan SEA 2027 dan kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Menurutnya, PKBM menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) menaikkan insentif SHAKAM bagi atlet acara berpasukan yang dianggap sebagai pengiktirafan wajar terhadap sumbangan mereka di pentas antarabangsa.
“Langkah ini mengiktiraf usaha atlet acara berpasukan secara lebih adil dan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat baharu negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari atas tindakan pantas kerajaan meluluskan penambahbaikan tersebut.
Menurut Amarjit, kadar ganjaran bagi acara berpasukan tidak berubah selama 24 tahun sebelum ini, namun penambahbaikan itu berjaya dipersetujui hanya seminggu selepas Majlis Penyampaian SHAKAM pada 3 November lalu.
Di bawah kadar baharu, insentif bagi setiap ahli pasukan yang memenangi pingat emas di Sukan Asia, Para Asia dan Sukan Komanwel dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000, iaitu peningkatan sebanyak 166.67 peratus.
Bagi pingat perak pula, ganjaran meningkat daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala pingat gangsa dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.
Penambahbaikan itu memberi manfaat langsung kepada skuad pecut berpasukan wanita negara yang meraih pingat perak di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi gandingan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nur Alyssa Mohd Farid, Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan.
Sebelum ini, empat pelumba terbabit berkongsi ganjaran RM40,000 atau RM10,000 seorang, namun menerusi kadar baharu setiap atlet bakal menerima RM20,000 seorang.
Secara keseluruhan, empat pelumba berbasikal negara itu akan menerima tambahan bayaran berjumlah RM40,000, manakala jurulatih turut memperoleh tambahan RM8,000 menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR), menjadikan keseluruhan tambahan ganjaran sebanyak RM48,000.
Skuad berbasikal trek negara menamatkan saingan di Aichi-Nagoya 2026 dengan satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa, manakala kejayaan skuad pecut berpasukan wanita dilihat membuktikan kemunculan generasi baharu pelumba wanita yang semakin kompetitif di pentas Asia.
PKBM yakin penambahbaikan insentif SHAKAM itu mampu merancakkan lagi pembangunan acara berpasukan dalam berbasikal trek serta memperluaskan kelompok bakat yang berpotensi mengharumkan nama negara.
Dalam pada itu, badan induk berbasikal negara itu turut merakamkan penghargaan kepada MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan berterusan terhadap pembangunan atlet serta sukan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
