Sepupu Khabib dipenjara enam bulan

 Usman Nurmagomedov
Usman Nurmagomedov
A
A
A

PETARUNG seni bela diri campuran (MMA) Rusia, Usman Nurmagomedov, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Abu Dhabi selepas terbabit dalam insiden pergaduhan dengan bintang UFC dari Georgia, Merab Dvalishvili.

Usman yang juga sepupu legenda UFC, Khabib Nurmagomedov, merupakan antara lapan individu yang dikenakan hukuman penjara berkenaan susulan kekecohan di sebuah hotel di Abu Dhabi, Rabu lalu.

Mahkamah turut mengenakan denda sebanyak 300,000 dirham ( AS$81,600) terhadap enam individu terbabit serta memerintahkan mereka diusir dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas menjalani hukuman penjara.

Insiden itu tercetus apabila Usman menghampiri Merab yang sedang ditemu bual di lobi hotel sebelum menampar petarung Georgia berkenaan sehingga mencetuskan pergaduhan membabitkan beberapa individu daripada kedua-dua kem.

Ketegangan antara kedua-dua pihak dipercayai berpunca daripada insiden terdahulu ketika acara Real American Freestyle (RAF) di Tbilisi, Georgia, Julai lalu.

Ketika itu, Merab didakwa menampar penggusti Dagestan, Akhmed Gadzhimagomedov yang juga kenalan rapat kem Nurmagomedov, selepas berlaku pertelingkahan berkaitan kenyataannya mengenai Umar Nurmagomedov.

Juara kelas welterweight UFC, Islam Makhachev yang rapat dengan keluarga Nurmagomedov, mendakwa Merab turut menghina ibu penggusti berkenaan dalam insiden tersebut.

Islam menerusi hantaran di media sosial menyifatkan tindakan Merab di Georgia sebagai punca tercetusnya permusuhan yang akhirnya membawa kepada pergaduhan di Abu Dhabi.

Bagaimanapun, Merab sebelum ini memberikan versi berbeza dengan mendakwa Gadzhimagomedov terlebih dahulu memegang lehernya dan menariknya sebelum berlaku pertelingkahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dua lagi individu yang merakam dan menyebarkan video pergaduhan di hotel berkenaan turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas kesalahan melanggar privasi menggunakan teknologi maklumat.

Merab dan rakannya, Saba Lazishvili, masing-masing dikenakan denda 50,000 dirham atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam dan menyerang individu lain, namun dibebaskan daripada tahanan.

Usman, 28, merupakan bekas juara lightweight Professional Fighters League (PFL) dan memiliki rekod profesional tanpa kalah dalam MMA.

Dia berada di Emiriah Arab Bersatu bagi menyaksikan aksi abangnya di RAF, Umar Nurmagomedov yang pada asalnya dijadualkan menentang Urijah Faber.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!