Teknologi pintar kembalikan budaya berbasikal di China

Penduduk China menggunakan basikal untuk ke tempat kerja, berjalan-jalan ataupun ke destinasi akhir selepas menggunakan kereta api bawah tanah. - Foto Bernama
Penduduk China menggunakan basikal untuk ke tempat kerja, berjalan-jalan ataupun ke destinasi akhir selepas menggunakan kereta api bawah tanah. - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Pada satu ketika, China pernah digelar ‘Kingdom of Bicycles’ lantaran penggunaan meluas basikal sebagai pengangkutan utama rakyatnya dalam menjalani kehidupan seharian.

Gerombolan penunggang basikal yang jauh mengatasi bilangan kenderaan lain di jalan raya adalah pemandangan biasa di bandar-bandar besar, dan fenomena itu sering kali dirakam lensa kamera media antarabangsa apabila melaporkan berita tentang China.

Namun imej sejak era 1960-an hingga lewat 80-an itu mula berubah pada 1990-an apabila kerajaan China melaksanakan dasar pengeluaran automobil negara, menyaksikan penggunaan basikal di jalanan beransur-ansur 'menghilang'.

Jika pada 1980-an penggunaan basikal menguasai 64 peratus perjalanan rakyat di bandar raya ini, angka itu merosot begitu ketara kira-kira tiga dekad kemudian, iaitu hanya sekitar 17.8 peratus pada 2014 menurut Suruhanjaya Pengangkutan Perbandaran Beijing.

Akan tetapi sejak enam tahun lepas, basikal kembali popular sebagai mod pengangkutan di negara ini susulan pelaksanaan program perkongsian basikal atau dockless bike-sharing.

Berkonsepkan perkongsian basikal melalui penyewaan dengan sokongan teknologi telefon pintar, khususnya bagi pembayaran mudah alih menggunakan aplikasi Alipay dan WeChat, pengangkutan dua roda itu menjadi pilihan khususnya di bandar raya ini, Shanghai, Guangzhou, Shenzen, Xi’an dan Hangzhou.

Banyak bandar di China telah mula membangunkan rancangan berbasikal dan membina infrastruktur berbasikal. - Foto Bernama
Banyak bandar di China telah mula membangunkan rancangan berbasikal dan membina infrastruktur berbasikal. - Foto Bernama

Perkhidmatan itu ditawarkan oleh sekurang-kurangnya 30 pengendali, antaranya youHello bike, Mobike dan Ofo, memastikan ribuan basikal sewa pelbagai warna tersedia di kawasan strategik tumpuan awam seperti stesen kereta api, tren bawah tanah, stesen bas dan pusat beli-belah.

Artikel Berkaitan:

Penulis yang berada di republik ini sejak pertengahan Julai lepas juga tertarik untuk mencuba perkhidmatan itu dan merasai sendiri pengalaman berbasikal di sekitar bandar raya ini.

Hanya muat turun aplikasi yang disediakan oleh pengendali, daftar diri dan imbas kod QR pada basikal serta aktifkan bluetooth pada telefon pintar untuk membuka kunci basikal dan anda sudah sedia untuk mengayuh. Begitu mudah.

Menariknya aplikasi berkenaan turut menyediakan peta lokasi basikal yang boleh disewa serta caj yang dikenakan

Penulis menyewa basikal itu untuk perjalanan pergi balik dari kediaman di Jiangoumen di tengah-tengah bandar raya ini ke Dataran Tiananmen, iaitu sejauh kira-kira sembilan kilometer atau sejam kayuhan, dan hanya dikenakan bayaran 10 yuan (RM6.47).

Bayaran itu hanya ditolak daripada akaun pengguna selepas basikal tersebut diletak di mana-mana tapak parkir basikal sewa dan menguncinya secara manual.

Kelihatan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan perkongsian basikal menyusun basikal sebelum diletakkan di parkir bersesuaian. - Foto Bernama
Kelihatan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan perkongsian basikal menyusun basikal sebelum diletakkan di parkir bersesuaian. - Foto Bernama

Sepanjang kayuhan tersebut, penulis dapat melihat pelbagai kemudahan disediakan untuk penunggang basikal, antaranya lorong khusus yang boleh memuatkan sebuah kereta sedan selain lampu isyarat mempunyai simbol basikal. Di samping itu, ada petugas yang berperanan mengawal dan memantau lalu lintas di lorong basikal.

Suhu musim panas yang mencecah 35 darjah Celsius nyata tidak menghalang warga Beijing menggunakan basikal untuk ke destinasi masing-masing termasuk mereka yang berpakaian pejabat.

"Saya belajar menggunakan basikal hanya dalam masa tiga hari ketika tiba di Beijing,” menurut rakan penulis, Ntsikelelo Que Qoyo dari Afrika Selatan yang juga peserta program yang diikuti oleh penulis di sini.

Malah, kenyataan lelaki berusia 30 tahun itu bahawa amat sukar melihat basikal di jalan raya di negaranya membuatkan penulis terpegun seketika.

"Saya melihat ribuan basikal di kaki lima sekitar bandar raya Beijing. Selain kos yang lebih murah, ia juga lebih cepat berbanding berjalan kaki.

"Saya tidak perlu beli basikal, cukup dengan menyewanya apabila perlu dan segala rekod penggunaan dan perjalanan serta caj dikenakan boleh dilihat semula dalam aplikasi,” kata Qoyo.

Seorang pengguna bike-sharing mengimbas kod QR yang ada pada basikal bagi membolehkan basikal tersebut digunakan. - Foto Bernama
Seorang pengguna bike-sharing mengimbas kod QR yang ada pada basikal bagi membolehkan basikal tersebut digunakan. - Foto Bernama

Bagi Syukri Azmi, rakyat Malaysia yang sudah lima tahun menetap di ibu negara China ini, basikal dan pengangkutan awam menjadi pilihannya untuk bergerak di sekitar kota raya ini.

"Saya lebih selesa menggunakan basikal atau subway (tren bawah tanah) di sini berbanding membeli kereta, kerana pengangkutan awam lebih mudah, murah dan cepat,” katanya.

Selain itu, perkongsian basikal juga merupakan antara usaha China mengurangkan pelepasan karbon ke udara, seiring dengan ikrarnya untuk mencapai neutral karbon menjelang 2060 yang diumumkan oleh Presiden Xi Jinping semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September 2020.

"Berbanding kira-kira empat tahun dulu, saya dapati kualiti udara di Beijing ketika ini lebih baik,” kata seorang lagi rakan penulis di sini, Vincent Cheong Jia Wei.

Dasar kerajaan China

Dalam usaha menggalakkan penggunaan basikal, kerajaan China giat melaksanakan pembangunan infrastruktur yang memenuhi keperluan penunggang basikal di bandar-bandarnya sejak beberapa tahun lepas.

Pada Februari 2017, lebuh raya basikal pertama China, dikenali sebagai Xiamen Bicycle Skyway di Xiamen, sepanjang 7.6 kilometer, siap dibina.

Di Beijing pula, kerajaan membina lebuh raya yang menghubungkan kawasan petempatan Huilongguan di Changping dengan zon perindustrian berteknologi tinggi di daerah Haidian, sejauh 6.5 kilometer.

Pada Mei lepas, media China, CGTN melaporkan UNGA menerima pakai resolusi menyokong penggunaan basikal dalam usaha memerangi perubahan iklim.

Kesemua 193 negara anggota PBB sebulat suara meluluskan resolusi yang dicadangkan oleh Turkmenistan itu.

Keputusan itu dicapai di tengah-tengah pengiktirafan meluas terhadap dasar perkongsian basikal awam China dalam menangani masalah pencemaran udara dan menyumbang kepada pembangunan mampan.

Bagaimanapun ada isu lain yang timbul di sebalik kejayaan dasar tersebut, iaitu masalah lambakan basikal.

Susulan itu, Beijing akan mengehadkan bilangan basikal kongsi di enam bandarnya kepada 800,000 unit tahun ini, memetik kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Perbandaran Beijing baru-baru ini.

Penyedia perkhidmatan perkongsian basikal utama seperti Meituan Bike, Hello Global dan Qingju turut berikrar mengehadkan bilangan basikal mereka di kawasan kota raya Beijing kepada 400,000, 210,000 dan 190,000 unit masing-masing.

Langkah itu bertujuan mewujudkan persekitaran yang adil, terbuka dan berdaya saing untuk industri perkongsian basikal, kata suruhanjaya tersebut.

Kegagalan oBike di Malaysia

Usaha China menghidupkan kembali budaya berbasikal mengingatkan penulis kepada cubaan membudayakan aktiviti serupa di Malaysia pada 2017.

China dilihat begitu serius dalam menggalakkan semula rakyatnya menggunakan basikal. - Foto Bernama
China dilihat begitu serius dalam menggalakkan semula rakyatnya menggunakan basikal. - Foto Bernama

Bagaimanapun usaha oBike, sebuah syarikat swasta berpangkalan di Singapura itu yang menggunakan kaedah hampir sama dengan China, menemui kegagalan walaupun mendapat sambutan menggalakkan pada peringkat awal.

Usaha murni untuk mengurangkan pelepasan karbon selain menggalakkan gaya hidup sihat itu tidak dapat bertahan disebabkan beberapa faktor termasuk vandalisme apabila basikal dirosakkan, dicuri dan tidak diletakkan di tapak yang sepatutnya, selain kekurangan infrastruktur seperti laluan basikal yang selamat.

Bukan itu sahaja, terdapat juga aduan pengguna mendakwa deposit mereka tidak dikembalikan selepas memulangkan basikal selain aplikasi dikatakan tidak mesra pengguna.

Sejak beberapa tahun lepas, pelbagai usaha dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggalakkan budaya berbasikal di ibu negara, khasnya bagi merealisasikan Dasar Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030. Namun hingga kini penulis melihat usaha itu tidak mencapai matlamat yang disasarkan.

Sekalipun ada lorong basikal, ia amat sempit dan hanya 'ngam-ngam' sebuah basikal serta tidak dikawal oleh petugas bagi menjamin keselamatan penunggang selain sering 'diceroboh' oleh penunggang motosikal.

"Agak sukar untuk membudayakan aktiviti berbasikal di ibu kota kerana kenderaan terlalu banyak dan tiada lorong khas untuk basikal yang luas dan selamat,” kata Sharil Yusup, 32, seorang pekerja swasta di Kuala Lumpur.

(Penulis berada di Beijing sebagai peserta program China Asia Pacific Press Centre 2022 (CAPCC) atas jemputan China Public Diplomacy Association. Program bermula 20 Jun lepas dan dijadualkan tamat pada pertengahan November depan.

Dianjurkan oleh China International Press Communication Center (CIPCC), program ini melibatkan lebih 70 pengamal media antarabangsa dari pelbagai negara, dan sepanjang tempoh program, peserta akan didedahkan kepada aktiviti-aktiviti termasuk syarahan mengenai pembangunan sosioekonomi, diplomasi, kebudayaan, sains dan teknologi, latihan kewartawanan dan latihan amali dengan media China serta lawatan ke wilayah-wilayah terpilih. Peserta juga berpeluang membuat liputan acara utama domestik dan diplomatik di China). - Bernama