3,000 Orang Asli Lojing perlu diselamatkan: CAP

Keadaan di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang yang dijalankan aktiviti pertanian yang dipercayai menjejaskan alam sekitar.
Keadaan di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang yang dijalankan aktiviti pertanian yang dipercayai menjejaskan alam sekitar.
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kelantan, jabatan dan agensi berkaitan agar mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan lebih 3,000 Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang yang terancam akibat aktiviti pertanian yang menjejaskan alam sekitar.

Antara kampung yang terdedah kepada ancaman tersebut adalah Kampung Jedip, Brooke Lama, King Kong, Sang Wai A dan B, Sendrop, Bahong, Mendrop, Hendrop dan Kampung Jekjok.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, aktiviti pertanian tersebut telah menimbulkan kebimbangan masyarakat Orang Asli di situ berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur yang berlaku di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, kesemua kampung yang wujud lebih 30 tahun lalu itu menjadi tumpuan para pengusaha pertanian menjalankan aktiviti mereka di situ.

"Kita bimbang aktiviti pertanian yang menjejaskan alam sekitar ini akan mendatangkan bahaya kepada lebih 3,000 Orang Asli di sekitar kawasan tersebut.

Ujar beliau, sejak 2017 hingga Jun 2022, tujuh kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur berlaku di kawasan berkenaan.

"CAP memandang serius dan bersimpati dengan masyarakat Orang Asli di situ dan menggesa pihak kerajaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi menanganinya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohideen, pihaknya bimbang dengan keselamatan Orang Asli yang tinggal di kampung-kampung tersebut sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkuasa terhadap aktiviti pertanian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kita percaya, jika masalah ini dibiarkan, ia akan memberi impak ke atas alam sekitar dan kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan itu malah kawasan terbabit akan terjejas dengan lebih serius pada masa akan datang.

"CAP juga bimbang penggunaan racun dan baja kimia oleh pengusaha pertanian yang boleh mencemarkan sumber bekalan air yang menjadi kegunaan penduduk di kawasan di situ," katanya lagi.

Beliau turut menggesa kerajaan Kelantan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) supaya menjalankan kajian mengenai kemerosotan sumber pendapatan dan kerosakan harta benda akibat masalah tersebut.

"Pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri juga perlu mencadangkan supaya pampasan yang setimpal diberikan kepada mereka terlibat. Selain itu, CAP menggesa kerajaan Kelantan mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil mengenai masalah ini kepada umum.

"Semua jabatan dan agensi terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas serta keselamatan masyarakat Orang Asli di situ sentiasa terjamin.

"Untuk masa akan datang, kita mencadangkan supaya pihak kerajaan mengambil tindakan menghentikan aktiviti pertanian di kawasan itu dengan menanam semula spesies pokok hutan yang bersesuaian bagi memulihkan kerosakan alam sekitar yang berlaku selain mengembalikan kawasan itu sebagai hutan simpan," katanya.