CX uji disiplin, karakter pelumba

CX dianjurkan di negara Eropah dan Amerika Syarikat sekitar Oktober hingga Februari setiap tahun. - Foto Agensi
CX dianjurkan di negara Eropah dan Amerika Syarikat sekitar Oktober hingga Februari setiap tahun. - Foto Agensi
A
A
A

SAINGAN Cyclocross (CX) membabitkan tiga siri perlumbaan tempatan diakhiri satu saingan peringkat antarabangsa bakal dianjurkan di negara ini buat pertama kali.

Perlumbaan berbasikal mencabar ini akan dianjurkan Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia dan badan induk berbasikal negara, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan enam kategori.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) kejohanan, Mohd Amrin Zairy Adham, CX merupakan gabungan tiga disiplin utama berbasikal dalam satu masa iaitu basikal bukit, basikal lebuhraya dan merentas halangan.

"CX umumnya lebih dianjurkan di negara seperti di Eropah dan Amerika Syarikat sekitar Oktober hingga Februari setiap tahun mengikut kalender pertandingan dalam siri dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Bagaimanapun, kali ini komuniti CX di Malaysia berpeluang untuk mempamerkan kemahiran dan kemampuan masing-masing dengan menyertai tiga siri perlumbaan Perak, Putrajaya dan Pahang. Peminat sukan berbasikal juga boleh merasai bahang kehangatan dan keseronokan dalam menyaksikan para pelumba mengerah keringat mengharungi halangan yang direka khas di dalam litar.

“Ia merangkumi halangan semula jadi, bentuk permukaan muka bumi serta laluan teknikal yang pastinya mencabar, memberi kepuasan serta pengalaman unik kepada para peserta dan juga penonton,” katanya.

Menurut Mohd Amrin, penganjuran tiga siri utama kejohanan ini bakal membuka peluang kepada pelumba tempatan dan antarabangsa untuk mengambil bahagian selain menjadi satu acara promosi kepada sektor pelancongan melalui sukan di Malaysia khususnya pelancongan negeri yang menjadi tuan rumah.

“Ia bakal menjadi acara perintis untuk memperkenalkan disiplin Cyclocross kepada peminat sukan berbasikal tempatan dan dijadikan sebagai satu produk sukan pelancongan rantau ini.

Artikel Berkaitan:

“Siri 1 bakal diadakan pada 22 dan 23 Oktober depan di Gunung Lang, Ipoh, manakala Siri 2 pula dijalankan pada 26 dan 27 November di Padang Semarak, Wetland, Putrajaya dan Siri 3 dan Grand Final berlangsung pada 17 Disember.

"Pada masa sama, bagi mempertengahkan penganjuran Cyclocross ini diperingkat antarabangsa, satu saingan khusus diperingkat antarabangsa akan dianjurkan iaitu Malaysia International Cyclocross Championship di Taman Awam Bera, pada 18 Disember ini," katanya.

Menurut Mohd Amrin, kejohanan ini terbuka kepada peserta tempatan dan antarabangsa, mengikut umur dan kategori yang dipertandingkan.

Katanya, pendaftaran boleh dibuat secara atas talian menerusi portal yang dilantik.

"Tempat adalah terhad bagi setiap kategori acara, yang mana bagi acara perintis ini, hanya 1,000 penyertaan sahaja dibuka untuk setiap siri penganjuran.

"Peserta boleh mendaftar mengikut siri atau pun mendaftar terus bagi ketiga-tiga siri kejohanan,"katanya.

Untuk rekod, antara kategori dipertandingkan Lelaki Bawah 23 tahun, Lelaki Terbuka, Lelaki Master, Wanita Terbuka dan dua acara khas MTB Terbuka Lelaki serta MTB Terbuka Wanita.

“Bagi setiap siri kejohanan, 20 peserta teratas akan memperolehi mata kemenangan bagi melayakkan diri untuk menyertai acara utama di Grand Final. Kelayakan peserta bagi menyertai acara utama ini adalah ditentukan oleh pungutan tertinggi mata peserta. Pengumpulan mata boleh diperolehi melalui penyertaan setiap siri yang dipertandingkan.

“Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap siri perlumbaan berjumlah RM11,500, manakala untuk Grand Final pula RM30,000, pemenang juga bakal merangkul jersi utama kejohanan bagi setiap kategori yang dipertandingkan” kata Mohd Amrin yang juga pengarah acara.

Turut berlangsung di kejohanan berkenaan ialah acara sokongan berbentuk karnival mini diadakan selama tiga hari di setiap lokasi siri penganjuran(Perak, Putrajaya, Pahang) bagi menambahkan kemeriahan perlumbaan mendokong penjanaan sosial ekonomi tempatan kepada para pengunjung dan komuniti setempat.

“Dengan bertemakan Enjoy Malaysia, setiap lokasi penganjuran akan diadakan pelbagai program dan aktiviti bagi penglibatan orang ramai, peserta acara, pengamal media dan pegawai acara,” katanya.

Antara program yang dirancang adalah pameran, promosi dan jualan produk, kiosk informasi agensi kerajaan, sukaneka rakyat, persembahan pentas, pesta kebudayaan dan acara berbasikal.