Tidak perlu terburu-buru bubar Parlimen: Mohamad Sabu

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SEREMBAN - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menegaskan tiada keperluan untuk terburu-buru membubarkan Parlimen pada akhir tahun ini yang begitu sinonim dengan musim banjir supaya tidak menyusahkan rakyat.

Malah beliau berkata, tarikh pembubaran parlimen wajar dipertimbangkan bagi memastikan keselesaan pengundi keluar mengundi.

"Bagi kita begini sahaja kalau boleh bagilah keselesaan kepada rakyat, ada masa sehingga bulan Julai tahun depan. Mengapa nak terburu-buru. Berilah keselesaan kepada rakyat.

"Kalau musim banjir memang susah semua pihak. Saya tahu memang hak perdana menteri, hak kabinet tetapi pertimbangkanlah juga kepada rakyat yang sekarang dah susah menderita nak buat pula dalam musim banjir," katanya kepada pemberita selepas selesai Konvensyen Nasional Amanah di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pilihan raya pada musim banjir akan menyebabkan rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan perbelanjaan tinggi.

"Diharap dipertimbangkan. Ada masa sehingga bulan Julai tahun depan. Mereka ada masa," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti tersebut sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini yang begitu sinonim dengan musim banjir.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak sedang menunggu tarikh keramat pembubaran itu meskipun terdapat kekangan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sekiranya Parlimen dibubarkan hujung tahun ini pihaknya sudah bersedia.

"Kalau mereka bubar kita terpaksalah terlibat. Itu kita kena bersedia daripada sekarang sebab mereka ini tak kira..mereka terdesak mereka boleh buat (bubar parlimen) walau di musim banjir," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, Amanah yakin dapat meluaskan pengaruh parti itu di tiga negeri di Pantai Timur pada PRU15.

"Politiknya begini, dahulu pembangkang di Pantai Timur, di sini (Pantai Barat) hilang wang pertaruhan, sekarang (pembangkang) beralih ke Pantai barat.

"Pantai Timur jangan putus asa, sampai ketikanya nanti di sana akan berkembang juga, itu perkara biasa berdasarkan pengalaman saya," katanya.

Mohamad berkata, strategi untuk memenangi kerusi di negeri berkenaan akan dibincangkan daripada masa ke masa antaranya meletakkan calon yang hebat.