Zarith Imaan mahu bolot emas acara individu gimnastik artistik

Zarith Imaan bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya pada Sabtu.
Zarith Imaan bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya pada Sabtu.
A
A
A

ATLET gimnastik artistik dari Pulau Pinang, Zarith Imaan Khalid berharap pingat emas yang dimenanginya di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 MSN bagi acara all-around pada Sabtu tidak hanya berhenti di situ.

Sebaliknya atlet berusia 19 tahun itu mahu menjadikan kejayaannya sebagai pemangkin membolot seberapa banyak pingat emas bagi menebus kekecewaan dalam edisi Sukma yang lalu apabila sekadar meraih pingat perak dan gangsa akibat kecederaan.

“Saya boleh katakan kemenangan semalam (Sabtu) memberikan lebih motivasi untuk terus lakukan yang terbaik dan berusaha menang lagi.

“Saya berharap semua dapat terus berikan sokongan," katanya yang kini sudah membuat penampilan kedua dalam Sukma.

Sebelum ini, Zarith Imaan memperagakan aksi memukau dalam kesemua empat disiplin (melombol, batang titian, senaman lantai dan palang bertingkat) sekali gus mengesahkan tempatnya selaku pemenang pingat emas acara all-around Sukma 2022.

Dalam pada itu, Zarith yang juga merupakan atlet kebangsaan berharap dapat membuat penampilan dalam temasya Sukan Sea Kemboja tahun depan memandangkan edisi 2021 di Vietnam pada Mei lalu dia terpaksa melupakan hasrat itu selepas mengalami kecederaan.

“Saya berharap dapat ke Sukan Sea Kemboja tahun depan sebab untuk edisi kali ini sudah terlepas.

“Sepatutnya saya pergi tapi disebabkan kecederaan maka terpaksa lupakan hasrat itu. Semoga tahun depan tidak ada sebarang masalah,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Zarith Imaan akan mengambil bahagian dalam acara melombol, batang titian, senaman lantai dan palang bertingkat yang dijadual berlangsung di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), pada Isnin.