Nelayan jatuh laut ditemui lemas

Mayat mangsa ditemui nelayan tempatan sebelum diserahkan pasukan penyelamat. -Foto Bomba Perak
Mayat mangsa ditemui nelayan tempatan sebelum diserahkan pasukan penyelamat. -Foto Bomba Perak
A
A
A

BAGAN DATUK - Seorang nelayan ditemui lemas selepas bot yang dinaiki karam di Muara Sungai Bernam, di sini pada Ahad.

Mangsa, Loo See Yong, 57, ditemui pada jam 11.45 pagi oleh nelayan tempatan yang kemudiannya memaklumkan kepada pasukan penyelamat.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tapah, A Ravi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit pada jam 11.55 pagi Sabtu melalui pihak polis.

Menurutnya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat selama dua hari sebelum mayat ditemui pada Ahad.

Pasukan penyelamat melakukan pencarian mangsa sejak Sabtu. . -Foto Bomba Perak
Pasukan penyelamat melakukan pencarian mangsa sejak Sabtu. . -Foto Bomba Perak

"Mangsa bersama dua rakannya bertindak terjun ke laut selepas mendapati bot mereka karam. Dua daripada mangsa berjaya berpaut di bot nelayan yang melalui kawasan itu bagaimanapun mangsa yang maut hilang.

"Mayat mangsa ditemui oleh nelayan yang melihat ada objek terapung di tengah laut dan menghubungi anggota penyelamat untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ravi berkata, mayat ditemui pada kira-kira 1 batu nautika daripada lokasi mangsa dipercayai hilang berhampiran sempadan perairan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai 27 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi berkenaan membabitkan tiga agensi menggunakan aset masing-masing.

Jelasnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.