Pengajaran disebalik isu amalan seks songsang pelajar IPT

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Ramai yang ‘panas’ susulan pendedahan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong bahawa kebanyakan pesakit yang dijangkiti HIV disebabkan amalan seks songsang (gay) adalah dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Perkara tersebut semakin membarah dengan kewujudan pelbagai aplikasi janji temu yang mendukung ke arah kegiatan songsang berkenaan.

Hakikatnya kisah hubungan sejenis atau suka sesama jantina bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia telah muncul sejak selain lama.

Sejujurnya masih ramai yang enggan perkara ini dibicarakan secara terbuka, walaupun hakikatnya budaya songsang ini dilihat semakin meruncing.

Bahkan sebahagian dalam kalangan mereka tidak segan silu untuk mengekspresikan kelakuan jijik tersebut sebagai satu ‘fitrah baharu’ yang tidak boleh ditolak.

Tidak dinafikan ia sedikit sebanyak berpunca daripada kejutan budaya yang dialami oleh generasi muda kini ketika berada di IPT memandangkan suasana kehidupannya dilihat sedikit berbeza berbanding pada masa yang sebelum seperti saat mereka masih di bangku sekolah.

Sebelum ini kita digemparkan dengan isu ‘brain draining’ yang menyaksikan 500,000 rakyat berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional memilih untuk bekerja di luar negara sejak 40 tahun lalu.

Tidak cukup dengan hal tersebut, turut dilaporkan sebanyak 390,000 atau 72.1 peratus daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019 menyatakan ketidakinginan untuk menyambung pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Artikel Berkaitan:

Meskipun ia dicatatkan berlaku pada 2019, namun trend tersebut dijangka berterusan untuk beberapa tahun kebelakangan.

Daripada kisah di atas dapat disimpulkan kini bahawa negara bukan sahaja bakal berhadapan dengan ketandusan tenaga profesional akan tetapi kini terpaksa bergelumang dengan masalah yang mana bakal ‘cerdik pandai’ sedia ada di negara ini berhadapan dengan keruntuhan moral.

Jika ia tidak dibendung maka apa sahaja natijah ketamadunan yang bakal dicapai pada masa akan datang hanyalah bersifat lahiriah dan kebendaan namun sifar rohaninya

Negara barangkali masih berupaya melahirkan tenaga pakar seperti doktor, arkitek, pengamal undang-undang dan guru, walau bagaimanapun pada masa sama menanggung tenat dengan gejala luar tabii yang berleluasa.

Ia sudah pasti suatu hal yang mengerikan dan tidak mungkin diimpikan, semenjak dahulu lagi perjalanan masyarakat ini dipandu dengan syariat yang bersendikan kitabullah sehingga sekalipun banyak anasir yang hadir untuk meracuni pemikiran mereka, namun prinsip dan jati diri masih dipegang teguh.

Barah yang semakin memuncak ini tidak diharapkan akan reda dalam masa yang terdekat, namun peranan dari segenap pihak seperti ibu bapa, masyarakat dan pemimpin perlu wujud meskipun memakan tempoh yang lama

Bagi mereka yang merancang untuk mendirikan rumah tangga, kehidupan tersebut tidak boleh lagi dilihat hanya sebagai mempunyai pasangan, anak dan usaha ke arah pengumpulan aset tetapi juga perlu didasari dengan ilmu kekeluargaan.

Mendidik anak-anak bagaimana berurusan dan berhadapan dengan kehidupan manusia yang semakin caca marba.

Mengingatkan kepada mereka untuk tidak mudah terpedaya dan mengikuti sesuatu tanpa rasional dan fikiran sihat.

Ibu bapa juga harus memiliki kesedaran mengajarkan dan menjadi tauladan dalam institusi keluarga kerana tidak dapat dinafikan faktor gejala songsang kadangkala berpunca daripada kekeluargaan yang bermasalah.

Pihak masyarakat pula hendaklah lebih serius dalam bersama-sama mewujudkan komuniti sejahtera berlandaskan Al Quran dan Sunnah meskipun bermula dengan hanya mengimarahkan masjid.

Di peringkat nasional, inilah masa terbaik bagi kerajaan untuk berkolobrasi bersama pakar berkaitan psikologi dan kaunseling yang terdiri daripada para pensyarah serta lepasan jurusan berkenaan di universiti tempatan atau swasta bagi bersama-sama menghasilkan modul yang berupaya menjadi solusi bagi masalah ini.

Pusat kaunseling di seluruh universiti dalam negara ini perlu diberikan sokongan terutama daripada segi dana bagi menyemarakkan usaha tersebut memandangkan kes-kes gejala berkenaan banyak berlaku di kampus.

Justeru, perjalanan dalam merawat barah ini bukanlah suatu yang mudah namun jangan menganggap ia sebagai satu perkara yang enteng dan mustahil.