Pemeraman tingkat mutu karya

Tujuan melaksanakan pemeraman ialah untuk mendapatkan keharmonian antara kata-kata dan baris-baris dalam puisi. (Gambar kecil: Rahman Shaari)
Tujuan melaksanakan pemeraman ialah untuk mendapatkan keharmonian antara kata-kata dan baris-baris dalam puisi. (Gambar kecil: Rahman Shaari)
A
A
A

SINAR Ahad pada 11 September lalu memuatkan tulisan Harlym Yeo yang menyentuh pemeraman sebagai ulasan pandangan penulis.

Harlem Yeo menganggap pandangan penulis tentang pemeraman ialah satu teori, namun penulis sendiri menganggapnya satu pedoman.

Penulis mahu mengatakan, walaupun ilham berulang kali tiba ke fikiran penyair, draf pertama karya selalunya tidak masak. Itulah sebabnya draf awal perlu diperam dan diubah berkali-kali.

Penulis tidak menafikan bahawa sesekali muncul juga karya yang lengkap, ertinya tidak perlu diperam. Penulis sendiri pernah dikunjungi ilham yang lengkap, tetapi ringkas sifatnya.

Pada 18 Ogos 2022, penulis telah mengemukakan pedoman yang sama di Laman Karya, Lumut, dalam satu diskusi sastera.

Penulis diundang menyertai forum bersama-sama aktivis muda, Aliff Haiqal atau lebih dikenali dengan panggilan Aliff Awan. Moderator forum itu pula ialah Datin Ain Syuhada Ahmad Bohari.

Ternyata, Aliff berminat menulis puisi. Setelah penulis memberikan pandangan tentang pemeraman, dia memberi respons.

Katanya, jika kita asyik memeram karya, karya terpendam terus, akhirnya tidak sampai kepada pembaca untuk tatapan. Kata-katanya itu bersifat gurauan, tetapi ada betulnya. Jika karya diperam terus menerus (terlalu lama) dan tidak masak-masak, memanglah tidak sampai kepada pembaca.

Artikel Berkaitan:

Penulis membalas responnya itu dengan mengatakan bahawa pemeraman mesti ada jangka masa, misalnya dua tiga hari, atau paling lama seminggu.

Harlym Yeo menyandarkan bicaranya pada bicara puisi dalam majlis bicara buku Rumpun Luhur, anjuran Syahida Hassan Enterprise (SHE). Dalam bicara tersebut, penulis mengulangi idea tentang pemeraman.

Penulis menyentuh pandangan Dr Saleeh Rahamad dalam satu ceramah di Aswara agak lama dahulu berkaitan hal ini.

Untuk menjelaskan isu ini, elok penulis menyatakan beberapa hal bersandarkan gagasan dan pandangan Terry Eagleton.

Antara lain, dalam buku Literary Theory, An Introduction, Eagleton menyebutkan bahawa ketika membina metafora, penyair mengutamakan penyetaraan, manakala ketika membina metonimi, penyair mendapatkan imej-imej yang berhubung kait. Pandangan tersebut merupakan sokongan terhadap pandangan Roman Jakobson, seorang formalis.

Idea

Tujuan melaksanakan pemeraman ialah untuk mendapatkan keharmonian antara kata-kata dan baris-baris dalam puisi.

Pemeraman puisi tentulah tidak sama dengan pemeraman buah-buahan, kerana buah mangga misalnya akan masak apabila diperam begitu sahaja, tanpa kita berbuat apa-apa. Malah, jika digunakan kabaid buah akan cepat masak, tetapi rasa mangga masak kabaid tidak seenak mangga yang masak secara alamiah.

Puisi ialah binaan yang berfungsi. Ada beberapa unsur untuk penyair menghasilkan puisi. Unsur-unsur utama ialah idea dan bahasa.

Ketika penyair mendapat ilham atau idea untuk menghasilkan puisi, kata-kata yang tiba dalam fikiran pasti sudah memiliki keindahan.

Menurut Eagleton, jika idea atau ilham itu disampaikan dalam bentuk biasa, tiada metafora dan metonimi, maka bukanlah puisi namanya.

Penulis kemukakan tiga baris karya yang bertajuk Usaha Jaya yang tidak hadir dalam bentuk puisi:

Setiap manusia merasai kesusahan

Jika diusahakan, kesusahan akan hilang

Akan dirasai kesenangan dan kebahagiaan.

(Daripada buku Merentas Masa karya Kamal Sharif, halaman 23)

Penulis mengemukakan contoh di atas dengan tujuan memudahkan bicara. Perhatikan, bentuk itu adalah prosa, tetapi disusun secara fizikal seakan-akan puisi.

Mesejnya mudah, iaitu jika seseorang gigih berusaha maka kesusahan akan berganti dengan kesenangan. Baris ‘Setiap manusia merasai kesusahan’ ialah isi fikiran biasa yang disampaikan dengan kata-kata biasa.

Batas antara prosa dan puisi perlu difahami oleh calon penyair. Di sinilah perlunya pemeraman. Jika baris-baris di atas disimpan oleh Kamal Sharif dalam buku nota, kemudiannya dibaca kembali untuk penambahbaikan, berkemungkinan besar akan terhasil puisi yang bermutu.

Kamal Sharif berhak mengemukakan sebarang tema. Seperti yang telah disebutkan, Usaha Jaya ialah karya yang memuatkan idea tentang jaminan, bahawa setiap usaha akan membuahkan kejayaan.

Jelas, bahawa Kamal Sharif bertujuan memberikan keyakinan kepada orang yang berusaha, satu mesej yang baik.

Kita perhatikan pula baris-baris sajak yang bertajuk, Tidak Semua karya Abizai:

Tidak semua pokok usaha yang kaubaja akan mengeluarkan buah jaya tidak semua perahu hasrat yang kau layarkan bakal sampai ke pangkal nyata

(Daripada buku Membentuk Elok di Teluk Esok, karya Abizai, halaman 36)

Adakah Abizai melaksanakan pemeraman? Kita tidak dapat membuat andaian. Hal ini tidak menjadi masalah, kerana tujuan bicara ini ialah untuk mencadangkan penghasilan karya yang baik.

Kita tidak berupaya mencari proses pembaikan karya seseorang penyair, melainkan penyair itu sendiri memaparkan prosesnya.

Rosli K Matari, penyair yang terpilih menerima anugerah SEA Write Award tahun ini, bermurah hati mengemukakan proses pemeramannya.

Dalam bukunya Tidakkah Kita Berada di Sini? kita menemukan sajak yang bertajuk, Nyalakan Impianmu di halaman 98. Proses penghasilannya ditunjukkan di halaman 17. Ini adalah draf sajak tersebut di halaman 17:

Kau harus menciptanya

kalau kau mahu melihat

Api itu berkobar

Kelip bunga sinarnya

Menjulang lagi

Sajak ini mengalami perubahan sebanyak sembilan kali. Hal ini kita tahu kerana di bahagian bawahnya penyair membuat catatan begini: Draf kedua daripada sembilan draf puisi Nyalakan Impianmu.

Itu bererti pemeraman puisi ini memakan masa yang agak lama. Sekarang kita hayati hasilnya. Saya turunkan 10 baris daripada keseluruhan sajak:

Kau harus berani mencipta

Nyalakan impianmu

Api berkobar

Nyalakanlah

Gelita

Akan cerah

Bersemarak

Kelip bunga sinarnya

Menjulang

Bagai titik-titik bintang

Kita dapati, baris ‘Kau harus menciptanya’ diubah menjadi ‘Kau harus berani mencipta’. Itu adalah munasabah, kerana untuk mencapai sesuatu impian, keberanian amat diperlukan. Baris ‘kalau kau mahu melihat’ ditiadakan.

Peniadaannya disebabkan penyair sedar bahawa maksud sajak ini bukan sekadar untuk melihat sesuatu. Baris ‘Api itu berobar’ disingkatkan menjadi ‘Api berkobar’ atas alasan bahawa ‘api’ sebagai lambang tidak memerlukan kata penunjuk ‘itu’.

Proses penciptaan puisi Nyalakan Impianmu merupakan contoh yang baik bagi sesiapa yang berhasrat mengikut petua pemeraman.

Ingin ditegaskan bahawa kaedah pemeraman ini hanyalah satu cadangan. Ertinya, penulis tidak bertujuan mengatakan bahawa hanya pengamal pemeraman sahaja yang akan berjaya menjadi penyair terbilang.

* Datuk Rahman Shaari ialah penyair terkemuka dan Sasterawan Negara ke-15