Statut Rom: Tiada kesan jika Malaysia tarik diri

Dr Muhammad Fathi
Dr Muhammad Fathi
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menarik diri daripada Statut Rom walaupun selepas menandatanganinya pada 4 Mac lepas tidak akan memberi sebarang kesan kepada negara.

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Statut Rom merupakan undang-undang yang kandungannya bersifat terbuka.

Menurutnya, ia bermaksud negara yang telah menandatanganinya boleh menarik diri seperti yang dilakukan bukan sahaja Malaysia malah Amerika Syarikat, Filipina dan Sudan.

“Lepas tarik balik, tiada kesan kepada negara. Statut Rom ini satu undang-undang yang mempunyai kandungan bersifat terbuka. Jadi kita boleh tandatangan dan kita boleh tarik diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Statut Rom: Kerajaan PH tidak konsisten

“Secara keseluruhannya memang ia tidak beri kesan kepada negara. Ada negara yang tarik balik tandatangan, Filipina pun buat perkara sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Begitupun, beliau berpendapat isu tersebut boleh menjadi pengajaran kepada kerajaan terutamanya dalam membuat keputusan untuk perkara besar melibatkan negara.

“Maksudnya, dalam sesuatu isu yang mungkin timbulkan pertikaian sama ada melibatkan institusi diraja, dalam isu itu perlu ada rundingan yang lebih menyeluruh untuk buat sesuatu keputusan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Malaysia mengambil keputusan untuk menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu adalah hasil mesyuarat Kabinet kelmarin.

“Kita dapat maklumat ada usaha pihak tertentu yang menghalang perkara ini, cuba libatkan Raja-raja untuk menentang kerajaan terutama saya.

“Ramai tak faham isu ini (Statut Rom). Kerajaan tarik balik bukan sebab kami takut tapi mereka guna Statut Rom sebagai alat politik,” katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya kelmarin.