Jangan curi alat pagar elektrik, elak gajah masuk kampung

Pagar elektrik yang dipasang di kawasan penempatan gajah di Telupid. Gambar kecil: Jafry Ariffin
Pagar elektrik yang dipasang di kawasan penempatan gajah di Telupid. Gambar kecil: Jafry Ariffin
A
A
A

SANDAKAN - Penduduk setempat diminta tidak mengganggu atau mencuri alat berkaitan dengan pagar elektrik terutama di kawasan penempatan gajah di Telupid.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerosakan pada pagar elektrik akan menyebabkan gajah melepasi kawasan sehingga masuk ke penempatan penduduk dan menyebabkan berlakunya gangguan haiwan berkenaan.

"Usaha pemasangan pagar elektrik telah dilakukan bagi mengurangkan masalah gangguan gajah di kawasan Telupid dan sepanjang tiga kilometer pagar elektrik telah dipasang di Kampung Bauto, manakala 2.9 kilometer di Kampung Gambaron.

"Atas usaha itu, sepanjang akhir tahun 2019 sehingga awal tahun ini tiada kumpulan gajah melepasi kawasan yang telah dipasang dengan pagar elektrik.

"Bagaimanapun, awal tahun ini didapati ada kumpulan gajah telah melepasi kawasan pagar elektrik disebabkan pagar terbabit tidak berfungsi berikutan unit panel solar telah dicuri pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika hadir pada sesi taklimat Mitigasi konflik gajah di Telupid pada Jumaat.

Isu pagar elektrik antara perkara yang dibincangkan dalam sesi taklimat itu berikutan tular di media sosial baru-baru ini gajah masuk ke kawasan kampung di Telupid.

Dalam kejadian itu, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dengan dibantu Community Elephant Ranger Team (CERT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain bekerjasama dalam usaha translokasi gajah terbabit.

Beliau dalam pada itu turut meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menyalurkan dana tahunan khas bagi menampung kos operasi dan menyelenggara pagar elektrik sedia ada.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Jafry berkata, kementeriannya akan meneliti pembangunan aktiviti pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar di Telupid.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin ia bukan sahaja mampu menjadi tarikan kepada pelancong asing dan domestik ke daerah ini tetapi juga memberi pulangan ekonomi khususnya kepada komuniti setempat.