Sabah, Sarawak ikrar kekal dalam Malaysia

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
A
A
A
MELAKA - Sarawak dan Sabah, sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuhkan Malaysia, bertekad serta berikrar untuk kekal bersama dalam Malaysia sebagai negara berdaulat dan berusaha untuk terus membangun.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri itu terus menggenggam teguh ikrar untuk bersama-sama Malaysia dan membangun berdasarkan terma seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Beliau berkata, Hari Malaysia adalah sejarah penting untuk diraikan bersama bagi menghargai perjuangan rakyat dan pemimpin terdahulu yang menempuh liku-liku bagi mencapai hasrat menjadi sebuah negara yang bebas, berdaulat serta bersatu padu.

"Berbekalkan obor semangat kebangsaan dan patriotisme tinggi dalam kalangan rakyat Bumi Kenyalang yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan latar belakang sosial, pastinya tema Hari Malaysia tahun ini, Keluarga Malaysia, Teguh Bersama dapat dijulang tinggi dan terus dihayati bersama.

"Saya percaya penghayatan tema ini juga melengkapkan lagi peranan dan sumbangan warga Malaysia khususnya generasi muda yang akan memastikan kesinambungan pembangunan negara,” katanya menerusi rakaman video ucapan beliau sempena sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam Jumaat.



Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, juga menerusi rakaman video berkata, 16 September adalah tarikh keramat kepada seluruh rakyat Malaysia atas pembentukan negara yang berdaulat.

Beliau berkata, semangat kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah kesinambungan semangat pejuang terdahulu yang kekal terpahat di dalam sanubari rakyat Malaysia.

"Tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama ini jelas menyatakan bahawa Keluarga Malaysia menekankan kesatuan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Sabah yang hidup aman damai, bersatu padu dalam ketenteraman, kebersamaan dan kesyukuran manakala teguh bersama pula membawa maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif dan mampan,” katanya.

Buat julung kali, sambutan Hari Malaysia 2022 diadakan di Semenanjung dengan Melaka menjadi tuan rumah dan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir menjadi lokasi sambutan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pula berkata, seluruh rakyat Melaka berasa sangat bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia 2022 malah menyifatkannya sebagai satu penghormatan.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, sekali gus mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap nilai-nilai budaya hidup masyarakat berbilang kaum yang ada di negeri bersejarah itu.

"Kami di Melaka sejak dahulu lagi sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan pragmatik terhadap hubungan kaum dan agama yang dapat memperkasa hubungan integrasi nasional.

"Malah permulaan dasar dan hubungan integrasi yang mahu diterapkan dalam kalangan rakyat sebenarnya telah bermula sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi," katanya dalam ucapan menerusi rakaman video.

Sulaiman berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan tersebut turut memberikan peluang terbaik kepada negeri itu untuk memperkasa sektor pelancongan domestik ketika negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik memandangkan ia adalah nadi pertumbuhan ekonomi Bandaraya Bersejarah itu. - Bernama