Harimau Muda dapat tonik berdepan Korea Selatan

Kapten B-19 negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul cuba melepasi kawalan pemain Sri Lanka, FS Mohamed Shahil pada perlawanan berkenaan. - Foto FB FAM
Kapten B-19 negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul cuba melepasi kawalan pemain Sri Lanka, FS Mohamed Shahil pada perlawanan berkenaan. - Foto FB FAM
A
A
A

KEMENANGAN ke atas Sri Lanka pada aksi kedua kumpulan E, Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) di Stadium MFF, Ulaanbaatar disifatkan sebagai bekalan terbaik menjelang aksi terakhir berdepan pendahulu kumpulan, Korea Selatan pada Ahad.

Pendapat itu disuarakan pengendali skuad B-19 negara, Sazali Hassan Waras yang mahu semua pemain Harimau Muda bersedia secukupnya menjelang aksi getir berkenaan.

“Secara keseluruhannya, kemenangan ini merupakan keputusan yang baik untuk pasukan kita kerana kita berjaya meraih tiga mata.

“Cuma, kita perlu memastikan kesemua pemain mendapat rehat yang secukupnya dan pulih daripada kecederaan menjelang aksi berdepan Korea Selatan, Ahad nanti.

“Ya, benar kita kini telah mengumpul empat mata tetapi kita masih perlu mencatatkan kemenangan ke atas Korea Selatan, jika mahu layak secara automatik ke pusingan akhir nanti,” katanya selepas perlawanan pada Jumaat.

Skuad B-19 negara menang 3-0 ke atas Sri Lanka hasil jaringan Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-31 dan pada masa kecederaan manakala satu lagi gol dijaringkan Adam Farhan pada minit ke-70.

Sementara itu, Aliff Izwan mengakui para pemain negara berdepan kesukaran menentang skuad Sri Lanka ditambah dengan cuaca hujan.

Bagaimanapun, katanya keadaan itu berjaya di atasi dengan segera dan kami berjaya memenangi perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Memang agak sukar pada mulanya untuk bermain dalam keadaan cuaca hujan, namun akhirnya kami dapat segera menyesuaikan diri bagi mencatatkan kemenangan ini,” jelasnya.