Berbusana sarung, retro ‘serbu’ Stesen Keretapi Ipoh

Individu berbusana tradisional Melayu seperti kain sarung, baju kurung dan ada yang berpakaian lengkap mengikut tema retro bergambar di pekarangan bangunan Stesen Keretapi Ipoh pada Jumaat. - Foto Awani
Individu berbusana tradisional Melayu seperti kain sarung, baju kurung dan ada yang berpakaian lengkap mengikut tema retro bergambar di pekarangan bangunan Stesen Keretapi Ipoh pada Jumaat. - Foto Awani
A
A
A

IPOH – Ratusan individu dilihat berbusana tradisional Melayu seperti kain sarung, baju kurung dan ada yang berpakaian lengkap mengikut tema retro di pekarangan bangunan Stesen Keretapi Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini pada Jumaat.

Mereka dilapor mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun.

Menurut Pengasas Ipoh Social Club, Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi, program Keretapi Sarong 22 itu pertama kali dianjurkan di negeri ini, selepas Kuala Lumpur.

Ia dianjurkan bersama oleh Ipoh Social Club dan Locco.

Ujarnya, Stesen Keretapi Ipoh yang berusia lebih 100 tahun menjadi lokasi untuk menghimpunkan wakil dari utara Malaysia.

“Kami buat hebahan untuk tarik penyertaan orang ramai menerusi media sosial Instagram, Facebook dan sebagainya. Alhamdulillah, ramai hadir.

“Keretapi Sarong 22 merupakan yang pertama dibuat di Ipoh. Bandar raya ini dijadikan lokasi bagi menghimpunkan wakil dari utara. Kita jalankan aktiviti di sini.

“Ramai yang hadir hari ini bukan sahaja dari Perak, tetapi merangkumi negeri lain seperti Pulau Pinang dan Kedah. Acara ini berjalan serentak di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain yang terpilih,” katanya lapor Astro Awani.

Artikel Berkaitan:

Deena berkata, objektif program ini yang menghendaki peserta memakai pakaian bertema sarung atau retro tahun 60-an hingga 90-an adalah bagi mengembalikan warisan terdahulu.

Menurutnya, pakaian itu juga melambangkan semangat perpaduan antara kaum, yang bukan hanya dipakai kaum tertentu, tetapi juga oleh semua.

“Kami mahu menyatukan semua, tidak kira bangsa. Memang semua bangsa ada pakai sarung. Signifikan hari ini adalah, ia melambangkan perpaduan.

“Aktiviti kita hari ini termasuk bergabung dengan badan bukan kerajaan Dapur Jalan Ipoh, untuk menyampaikan pek makanan kepada gelandangan,” ujarnya.

Sementara itu, peserta program, Mohd Sinar Ishak dari Tanjung Rambutan, menyatakan keterujaan dapat turut sama memeriahkan sambutan tersebut.

“Saya teruja untuk berkumpul di sini, sambut Hari Malaysia. Sebelum ini, saya memang ada terlibat dengan penganjuran sama di Kuala Lumpur.

“Saya dapat tahu ia dianjur di sini tahun ini, memang seronok. Tema saya pakai hari ini ialah orang kampung, macam Pak Maun, mengimbau semula zaman 70-an dan 80-an,” katanya.

Objektif program menghendaki peserta memakai pakaian bertema sarung atau retro tahun 60-an hingga 90-an adalah bagi mengembalikan warisan terdahulu. - Foto Awani
Objektif program menghendaki peserta memakai pakaian bertema sarung atau retro tahun 60-an hingga 90-an adalah bagi mengembalikan warisan terdahulu. - Foto Awani

Peserta dari Kuala Lumpur, Nur Ruzaini Ruslan yang hadir bersama anak perempuannya pula berkata, dia pernah beberapa kali menyertai program sama di ibu negara.

“Tahun depan mungkin boleh buat lebih meriah dan melibatkan lebih ramai peserta, di samping menarik minat lebih ramai daripada bangsa lain.

“Rasa bersemangat pakai baju sebegini. Anak pun mahu sama sertai. Saya rasa gembira sangat. Adik lelaki saya pun ada sekali teman hari ini,” katanya.

Semangat sama dikongsi oleh Nur Afieqah Ashmawi dari Chemor, yang hadir bersama rakannya seawal jam 7.30 pagi.

“Saya dapat tahu mengenai program ini daripada Instagram. Persiapan dilakukan memang saat akhir sebab kawan ajak teman ke sini.

“Kami juga boleh berkenalan dengan kawan baharu dari negeri lain, yang mana ramai di sini berkongsi minat sama.

“Pelancong yang datang ke stesen kereta api ini boleh lihat budaya dan pakaian tradisi kita,” jelasnya.