Lelaki tipu jual beli baju kurung didenda RM2,000

Tertuduh (kiri) diiringi anggota polis di pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Pilah.
Tertuduh (kiri) diiringi anggota polis di pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Pilah.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah memperdaya seorang wanita berhubung urusan jual beli baju kurung pada Mac lepas.

Tertuduh, Mohd Sopri Togil, 47, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mahkamah turut menetapkan lima bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah memperdaya seorang wanita berusia 46 tahun dengan mendorongnya membuat pindahan wang berjumlah RM320 ke dalam akaun bank milik tertuduh bertujuan sebagai pembayaran pembelian baju kurung.

Perbuatan tersebut dilakukan di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah pada 27 Mac lepas.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan akaunnya telah dibekukan dan asetnya telah disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dua minggu sebelum hari raya.

Majistret kemudiannya bertanyakan sebab utama sitaan berkenaan dibuat.

"Mesti ada sebab, kalau kamu tak buat hal mesti tidak ada aduan KPDN," katanya.

Tertuduh seterusnya memberitahu terdapat kes serupa membabitkan pembeli berlainan yang juga membabitkannya.