PRU15: BN Johor sudah terima senarai calon

Hasni (kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah sempena program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan di Pekan Benut pada Jumaat.
Hasni (kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah sempena program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan di Pekan Benut pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - BN Johor mengesahkan telah menerima senarai nama calon yang bakal bertanding di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, senarai nama itu diserahkan setiap bahagian ​​​menerusi parti komponen UMNO, MCA dan MIC.

Bagaimanapun, katanya terdapat bahagian yang belum mengemukakan senarai nama kerana masih melalui proses perbincangan bagi mengenal pasti calon.

" Apabila kesemua 26 bahagian telah menghantar nama calon, BN Johor akan menyenarai pendek nama-nama calon untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan.

"Calon-calon yang dipilih kelak perlu seimbang antara muka baru, anak muda, golongan profesional dan wanita. BN Johor akan tampilkan calon yang boleh menang pada PRU15 nanti.

"Walaupun tarikh PRU15 belum diketahui tetapi semua parti komponen di peringkat bahagian perlu melengkapkan jentera pilihan raya," katanya.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan di Pekan Benut di sini pada Jumaat.

Ditanya mengenai nama-nama besar yang akan bertanding di luar kawasan masing-masing pada PRU15 kelak, Hasni menyatakan perkara tersebut mungkin melibatkan pucuk pimpinan BN di peringkat pusat.

Artikel Berkaitan:

"Itu saya kira perbincangan pihak pimpinan tertinggi dan juga atas platform BN dan UMNO. Bukan di peringkat UMNO dan BN Johor untuk bincangkan hal tersebut.

"Setakat itu ia hanya khabar angin. Begitu juga dengan saya, ada yang menyatakan akan bertanding di sana dan di sini lebih-lebih menjelang PRU15 ini," katanya.

Sinar Harian pada 8 September lalu, melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim bakal bertembung dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh pada PRU15.

Menurut sumber, pucuk pimpinan parti telah bersetuju untuk memindahkan beliau daripada kerusi Parlimen Muar yang pernah dimenangi selama tiga penggal iaitu pada PRU11, PRU12 dan PRU13.