Razali berdepan cabaran besar bertanding di Pagoh

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Datuk Seri Razali Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu mendapat 'restu' Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Rata-rata pemimpin dan ahli akar umbi UMNO Bahagian Muar dijangka memberi sokongan penuh kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu untuk berpindah kerusi dari Parlimen Muar ke Parlimen Pagoh.

Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) UMNO Cawangan Sarang Buaya, Md Kamal Hussin, 59, Razali perlu mendapat persetujuan MKT terlebih dahulu sebelum mengatur strategi menawan Parlimen Pagoh.

"Saya merasakan orang Pagoh akan menerima beliau, apa yang penting kita mahukan kemenangan Datuk Seri Razali di Parlimen Pagoh nanti.

"Beliau merupakan pemimpin muda yang banyak idea dan banyak ilmu, amat sesuai diletakkan di Pagoh kerana kawasan tersebut merupakan majoriti Melayu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar dikatakan akan berpindah kawasan dan bertanding di Parlimen Pagoh sekali gus menyaksikan pertembungan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU15.

Kerusi Parlimen Pagoh kini disandang Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi menewaskan calon Pas dan UMNO.

Sementara Razali yang menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13 tewas pada PRU14, dikalahkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menang dengan majoriti 6,953 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Artikel Berkaitan:

Md Kamal yang juga ahli UMNO Cawangan Seri Kemang berkata, orang Pagoh perlu memberi peluang kepada Razali untuk berkhidmat di kawasan mereka dan jika menang wajar dilantik sebagai menteri penuh.

Ahli UMNO Cawangan Kampung Parit Pali, Shamsuddin Mukri, 56, pula berkata, UMNO Muar perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan Razali kerana kawasan tersebut merupakan kubu kuat Muhyiddin.

Beliau berkata, bagi mengelak sebarang kekeliruan UMNO Bahagian Muar perlu berbincang dengan UMNO Bahagian Pagoh supaya semuanya berjalan lancar termasuk dapat menyelesaikan masalah calon parti itu di Pagoh.

Ketua UMNO Cawangan Bukit Mor, Razak Zulkifli Abdullah, 58, berkata, semua pihak dalam parti perlu saling membantu bagi memastikan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menang kerana cabaran besar bertanding di Pagoh.

"Datuk Seri Razali akan berdepan Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini bukan calon yang bukan sebarangan," katanya.