Calon SDKA 2022 Johor peroleh 7 agregat menurun

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Jumlah calon Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) 2022 Sekolah Agama Kerajaan Johor yang memperoleh keputusan cemerlang dengan tujuh agregat menunjukkan penurunan kepada 79 orang berbanding 135 orang pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata jumlah calon lulus keseluruhan juga menunjukkan penurunan iaitu seramai 11,622 orang, berbanding 16,429 pada tahun sebelumnya, manakala yang gagal adalah seramai 8,406 orang.

Beliau berkata antara faktor yang menyebabkan penurunan ialah anak-anak terpaksa melalui pengajian agama secara atas talian semasa Covid-19 sekali gus menyumbang kepada penurunan prestasi mereka.

"Ini bukan alasan, tetapi itulah fakta yang berlaku dan pendidikan secara atas talian berbanding pendidikan fizikal pasti ada kekangan. Kita mengaku bahawa pendidikan formal secara fizikal adalah yang terbaik. Ini adalah kesan yang kita terpaksa akui berlaku.

"Selain daripada kesan pendemik, ia juga akibat daripda kekurangan guru-guru yang berlaku,” kata beliau kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan peperiksaan SDKA di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, pada Isnin.

Mohd Fared berkata, pada tahun ini bilangan calon yang mendaftar untuk peperiksaan SDKA 2022 adalah seramai 20,808 orang namun hanya 20,028 calon hadir menduduki peperiksaan sijil berkenaan.

Beliau berkata, daerah Pontian kekal menjadi daerah terbaik SDKA 2022 dengan peratus kelulusan sebanyak 76.75 peratus dan Gred Purata Skor (GPS) 2.64 manakala sekolah cemerlang SDKA kali ini adalah Sekolah Agama Penjara Simpang Renggam dengan mencatat GPS 1.09.

Sementara itu Shahizatul Arianie Shahrul daripada Sekolah Agama Taman Sri Saujana Kota Tinggi yang memperoleh tujuh agregat iaitu 12A1 dalam 12 mata pelajaran, dinobatkan sebagai pelajar terbaik peperiksaan SDKA 2022.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fared berkata, kumpulan pertama jemaah haji dari Johor melibatkan 142 orang akan berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) Senai, pukul 8 malam esok.

"Nasihat saya kepada jemaah haji, harap jaga kesihatan dan buat persediaan secukupnya, pastinya keadaan di sana lebih panas daripada biasa, jadi kena rujuk dengan doktor Tabung Haji, kalau tidak sihat hubungi pihak Tabung Haji di sana jika tidak sihat,” ujarnya. - Bernama