Cantik tak dapat, sakit yang dapat

Produk kosmetik 'timbang kilo' mudah didapati, bahkan ramai pengusaha berlumba-lumba mempromosikan barangan tersebut di media sosial. - Foto 123rf
Produk kosmetik 'timbang kilo' mudah didapati, bahkan ramai pengusaha berlumba-lumba mempromosikan barangan tersebut di media sosial. - Foto 123rf
A
A
A

PAKAR bedah plastik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar menyentuh mengenai pengusaha produk kosmetik 'timbang kilo' yang kembali mendapat sambutan ramai terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Selain harga yang murah, produk kosmetik 'timbang kilo' mudah didapati, bahkan ramai pengusaha berlumba-lumba mempromosikan barangan tersebut di media sosial.

Dr Siti Fatimah bagaimanapun mendedahkan, produk kosmetik ‘timbang kilo’ adalah berisiko kerana kebanyakannya tidak mendapat lesen yang disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga boleh mengakibatkan pengguna mengalami masalah kulit.

Beliau mendedahkan, terdapat pengguna produk terpaksa merujuk ke hospital dan mendapati kulit mereka mempunyai kadar steroid yang tinggi, salur darah halus dan komplikasi serius.

Bagi mereka yang tidak tahu, kosmetik ‘timbang kilo’ merupakan produk yang bahannya dibeli secara borong daripada negara jiran, Thailand.

Barangan tersebut akan dipeketkan dan dilekatkan dengan sesuatu jenama untuk dipasarkan di dalam Malaysia.

Kerja pembungkusan kebanyakannya dilakukan di rumah.

Kebanyakan produk ini tidak mendapat kelulusan KKM kerana apabila sampelnya dihantar ke makmal, terdapat kandungan bahan racun berjadual seperti hydroquinone, merkuri dan tretinoin.

Artikel Berkaitan:

Bahan ini akan memberi kesan sampingan yang memudaratkan pengguna, lebih-lebih lagi apabila dipakai secara berterusan.

Namun, disebabkan mendapat permintaan yang tinggi, pengusaha kosmetik ini tetap nekad mengeluarkan produk mereka demi mendapatkan keuntungan walaupun tahu risiko dihadapi pengguna.

Dalam isu ini, orang ramai sepatutnya mempunyai kesedaran tinggi bagi memastikan penggunaan kosmetik berisiko ini dapat dibendung.

Teliti dahulu kandungan produk kosmetik sebelum membelinya. Perkara asas perlu diambil kira ialah kandungan atau bahan digunakan dalam penghasilan produk kosmetik selain proses penyediaan yang baik dan berkualiti.

Memang tidak dapat dinafikan, produk kosmetik sudah menjadi keperluan kepada remaja bukan saja wanita, malah lelaki.

Bagaimanapun, biarlah terpaksa mengeluarkan wang lebih sedikit dengan membeli produk kosmetik yang disahkan selamat serta diluluskan KKM.

Jangan kerana terlalu mengejarkan kecantikan sampai mengabaikan kesihatan diri. Nanti cantik tak dapat, sakit yang dapat.