Polis cari empat lelaki bantu siasatan kes bunuh

Polis sedang mengesan empat individu bagi bantu siasatan.
Polis sedang mengesan empat individu bagi bantu siasatan.
A
A
A

TAWAU - Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh membabitkan seorang lelaki di belakang sebuah bistro Jalan Merdeka 3, Fajar pada Selasa lalu.

Semua individu berusia antara 22 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar Tawau berikutan penemuan mangsa lelaki berusia 28 tahun yang ditikam dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.18 pagi Selasa.

Katanya, menurut maklumat seorang mangsa lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditikam dan pihak Hospital Tawau mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Ekoran kejadian itu, empat lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan dan motif kejadian dipercayai berlaku disebabkan pergaduhan dan perselisihan faham.

"Pemeriksaan forensik terhadap anggota badan mangsa mendapati ada satu luka kecil dipercayai kesan tikaman di bahagian dada sebelah kiri mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Jasmin berkata, berikutan kejadian itu kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Tiga suspek berjaya ditahan dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau pada Rabu dan semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 September ini.

Artikel Berkaitan:

"Seorang lagi suspek ditahan pada pagi Khamis turut dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan reman dan setakat ini siasatan masih diteruskan," katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya sedang mengesan empat lagi individu dan diminta tampil untuk membantu siasatan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zamzarina Asri di talian 016-7375868 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.