ADUN PH di Pahang tidak terima peruntukan sejak 2018

Lee Chin Chen
Lee Chin Chen
A
A
A

KUANTAN - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Lee Chin Chen memberitahu situasi yang dihadapi lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri sama seperti ADUN Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Beliau yang juga ADUN Bilut berkata, semua perbelanjaan di kawasan dan perbelanjaan pejabat adalah melalui sumbangan orang ramai.

"Kami langsung tidak menerima satu sen peruntukan daripada kerajaan negeri Pahang sejak 2018 lalu.

"Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa untuk membendung penyebaran wabak Covid-19, kebanyakan kami bergerak melalui dana yang disumbangkan daripada orang ramai untuk membantu penduduk di kawasan kami yang terputus bekalan makanan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar mengesahkan kesemua lapan ADUN daripada parti itu sudah tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sejak awal tahun ini.

Bersimpati dengan situasi yang dihadapi ADUN Pas tersebut, Chin Chen memberitahu sudah tiba masa Pas juga belajar mandiri dalam mencari dana dan menguruskan perbelanjaan di kawasan DUN masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar kenyataan ADUN Panching, Tarmizi Yahaya yang menyifatkan sekatan peruntukan tersebut seperti menyekat peruntukan untuk umat Melayu Islam.

"Adakah di kawasan ADUN-ADUN Pas ini tidak mempunyai rakyat dari kaum dan agama yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Adakah ADUN-ADUN Pas ini hanya menjaga kebajikan rakyat Melayu Islam di tempat mereka dan membiarkan kaum dan agama lain?" soal Chin Chen lagi.

Ujar Chin Chen, perkara menjual agama dan sentimen kaum demi mendapat undi serta simpati daripada rakyat perlu dihentikan kerana agama dan perkauman bukan komoditi yang boleh dijual beli.

"Adalah sesuatu yang menjijikkan apabila sesebuah parti atau individu menggunakan agama dan sentimen kaum untuk mendapat kuasa dan pengaruh.

"Saya mendoakan ADUN Pas di negeri Pahang mendapat hidayah dan kebaikan di sebalik musibah yang menimpa mereka pada waktu ini," kata beliau.

Sebelum ini, Tarmizi mendedahkan peruntukan RM20,000 yang mula disalurkan kepada mereka sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Mac 2020, ditamatkan tanpa sebarang notis mulai awal tahun ini.

"Yang jadi ADUN Pas di Pahang semua Melayu Islam. Kalau peruntukan disekat, mereka sekat peruntukan untuk umat Melayu Islam sebenarnya,” kata Tarmizi.