TNB lancar projek kukuh bekalan elektrik Pulau Pinang

Takiyuddin (tiga dari kanan) dan Kon Yeow (empat dari kiri) melihat replika Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang bernilai RM500 juta siap pada 2024.
Takiyuddin (tiga dari kanan) dan Kon Yeow (empat dari kiri) melihat replika Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang bernilai RM500 juta siap pada 2024.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang melalui talian penghantaran keempat bernilai lebih RM500 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Projek itu akan dibangunkan tiga syarikat berpengalaman dalam pembinaan talian atas dan kerja-kerja pembinaan di laut, termasuk CHEC Construction (M) Sdn Bhd yang terlibat secara langsung dalam pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, projek pengukuhan bekalan elektrik itu mampu membekalkan sehingga 2,000 megawatts (MW) secara terus dari Grid Nasional dii tanah besar ke kawasan pulau.

Menurutnya, TNB dalam usaha mengekalkan kestabilan bekalan elektrik di Pulau Pinang sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk perindustrian, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan.

"Penyambungan terus bekalan elektrik ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas monopole 275 kilovolt (kV) sepanjang 8.5 kilometer (km) yang bakal menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light, dibina selari dengan Jambatan Pulau Pinang.

"Projek berimpak tinggi ini bakal menjadi mercu tanda ikonik kerana enam daripada 31 buah menara talian ini, penghantarannya unik dengan reka bentuk buah pinang. Keenam-enamnya pula akan dibina di tengah-tengah jajaran Jambatan Pulau Pinang," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas Di Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Takiyuddin menambah, kapasiti bekalan sedia ada (firm capacity) di kawasan pulau adalah sebanyak 1,130 mega watt (MW) dan bakal menurun ke tahap lingkungan 800MW apabila SJ Gelugor menamatkan kontrak perkhidmatannya pada Ogos 2024.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa yang sama, permintaan dijangka meningkat pada masa hadapan, berdasarkan permintaan beban puncak yang pernah mencecah hingga 777.85 MW yang direkodkan pada Januari 2020. Oleh demikian, pelaksanaan projek talian atas ini amat tepat yang mana, ia berkapasiti lebih tinggi berbanding dengan kaedah kabel bawah jambatan dan kabel dasar laut.

"Ia mampu menghantar bekalan sebanyak 2,000MW daripada SJ Perai ke PMU The Light, bergantung kepada permintaan beban di kawasan pulau," katanya.

Kon Yeow (empat dari kanan) merasmikan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang di sebuah hotel di Seberang Jaya pada Khamis.
Kon Yeow (empat dari kanan) merasmikan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang di sebuah hotel di Seberang Jaya pada Khamis.

Tambah beliau, tiga penghantaran bekalan elektrik sedia ada ke kawasan pulau adalah melalui kabel dasar laut 132kV dari SJ Prai - SJ Gelugor yang dimula tugas pada 1978; 132kV kabel bawah jambatan (1989) dan 275kV kabel dasar laut dari PMU Juru - PMU Bayan Lepas (1995), di samping SJ Gelugor.

Beliau berkata, projek penghantaran talian atas itu juga adalah solusi paling lestari menyalurkan bekalan elektrik dari Grid Nasional ke kawasan pulau ini, dengan mengambil kira aspek kewajaran kos, keselamatan, kecekapan dan kestabilan bekalan termasuk dari segi kepantasan mengesan sebarang kerosakan atau gangguan.

"Semua elemen tersebut menjadikan pelaksanaan projek ini turut menterjemahkan komitmen TNB terhadap agenda ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus). Selain itu, kerja-kerja pembinaan menara di dalam air juga tidak akan memberi impak kepada lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang.

"Impak ekologi dasar laut juga adalah lebih rendah kerana menara atas laut yang akan dibina dengan tapak (footprint) adalah jauh lebih kecil berbanding dengan jajaran kabel dasar laut.

"Projek penghantaran talian atas ini adalah sebahagian daripada pelaburan berterusan TNB dalam membangunkan serta memodenkan Grid Nasional menjadikan grid pintar yang stabil serta berdaya harap dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, kejayaan projek itu akan menyokong dan merancakkan lagi pembangunan negeri ini secara keseluruhannya, selaras dengan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang telah digariskan secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh.

Katanya lagi, projek berimpak tinggi itu juga sangat penting pada masa depan penduduk Pulau Pinang memandangkan ketiga-tiga talian penghantaran bekalan sedia ada berusia antara 20 hingga 38 tahun yang mana, ia memerlukan kos yang tinggi untuk penyelenggaraan dan sebagainya.